TAPAH: Kerajaan Perak akan mewajibkan semua pengusaha ternakan babi di negeri ini melaksanakan konsep Ladang Babi Moden (MPF) sebagai langkah sistematik menyelesaikan isu pencemaran dan kawalan penyakit akibat haiwan tersebut secara mandatori.
Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, setakat ini terdapat kira-kira 85 ladang babi di seluruh Perak yang diarahkan melaksanakan konsep MPF secara bertahap sehingga 2027.
“Kami menjangkakan terdapat 80 ladang babi sahaja akan melaksanakan MPF kerana ada pengusaha yang bakal bergabung dengan ladang-ladang bersaiz besar yang lain selain menutup operasi mereka kerana tidak mempunyai modal yang mencukupi.
“Sebagai contoh, ladang yang saya lawat ini mengamalkan konsep penternakan babi moden secara tertutup melibatkan lebih 40 kandang sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
“Ladang ini juga mematuhi radius jarak dengan penempatan seperti yang ditetapkan undang-undang. Mereka telah membelanjakan lebih RM30 juta bagi tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan di sebuah ladang khinzir fasiliti moden, mesra alam dan bebas pencemaran iaitu French Malaysian Livestock Industrial Sdn. Bhd. di Ayer Kuning, di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir.
Katanya, kerajaan negeri Perak merupakan yang pertama di negara ini yang melaksanakan pendekatan sebegitu bagi mengelakkan pencemaran air dan bau terutama di sungai-sungai dan sistem peparitan.
Tambah beliau, konsep MPF itu menekankan penggunaan kandang tertutup, amalan sifar pelepasan dan pematuhan kepada Amalan Penternakan Baik (GAHP).-UTUSAN.











