KKM, JBPM meterai nota kerjasama perkukuh aktiviti kesihatan

KKM, JBPM meterai nota kerjasama perkukuh aktiviti kesihatan

DZULKEFLY Ahmad (tengah, belakang) menyaksikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab (kiri) dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Sri Ts. Nor Hisham Mohammad menandatangani Nota Kerjasama. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam menandatangani nota kerjasama bagi mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua pihak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama itu bagi melaksanakan aktiviti kesejahteraan kesihatan di semua fasiliti JBPM termasuk Akademi Bomba dan Pengkalan Udara Bomba di seluruh negara.

“Kerjasama kedua pihak selaras dengan frasa All Sector is Health Sector yang mana KKM amat memerlukan sokongan rakan strategik termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti serta seluruh masyarakat untuk merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara dengan rakyat yang sihat dan sejahtera.

“Kerjasama KKM bersama JBPM bermula pada tahun lalu melibatkan seramai 1,181 pegawai bomba yang mempunyai faktor risiko berlebihan berat badan dan obesiti untuk menyertai intervensi IFitEr selama enam bulan di Wellness Hub seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Wellness Hub Kuala Langat di sini, semalam.

Dzulkefly berkata, menerusi program intervensi IFitEr tersebut, seramai 948 pegawai atau 80.3 peratus daripada keseluruhan pegawai terlibat berjaya menurunkan berat badan.

“260 pegawai atau 27 peratus pegawai terlibat berjaya mencapai Indeks Jisim Tubuh ideal dan 1,098 pegawai atau 93 peratus pegawai terlibat dengan program tersebut berjaya meningkatkan kecergasan serta produktiviti kerja,” katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, Dzulkefly berkata, di Selangor terdapat tiga Wellness Hub telah beroperasi iaitu di Hulu Langat, Sabak Bernam dan Kuala Langat.

“Tahun ini, pembangunan baharu Wellness Hub di Kuala Selangor turut dilaksanakan. Selain itu, Wellness Hub Hulu Langat akan dipindahkan ke bangunan baharu yang lebih luas dan selesa di pekarangan Klinik Kesihatan Bandar Seri Putera.

“Kita juga menyasarkan dalam masa lapan tahun akan memiliki 48 lagi Wellness Hub menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 81 buah menjelang 2033 termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN