Kastam rampas 55,572 kilogram ayam sejuk beku bernilai RM833,580 - Utusan Malaysia

Kastam rampas 55,572 kilogram ayam sejuk beku bernilai RM833,580

ISMAIL Hashim (tiga dari kanan) menunjukkan ayam sejuk beku yang dirampas menerusi pemeriksaan dua buah kontena di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, 26 Julai dalam sidang akhbar di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dua buah kontena berisi 55,572 kilogram ayam sejuk beku bernilai RM833,580 menerusi pemeriksaan dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, pada 26 Julai lepas.

Pemeriksaan sekitar pukul 3.20 petang itu dilaksanakan selepas ayam-ayam sejuk beku itu didapati tidak mematuhi peraturan import ditetapkan selain status halal yang mencurigakan.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, siasatan awal dilakukan pihaknya mendapati semua ayam sejuk beku itu dari negara lain sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

“Pihak terlibat kemudian cuba menipu dengan membawa semua ayam itu ke Thailand dan membawa masuk semula ke negara ini bagi mendapat pengurangan cukai.

“Pemindahan itu menggunakan Borang Kastam 8 dan kita dapat lihat country of origin adalah dari negara lain dan kemudian kita perhatikan suspek tidak masuk ke Thailand tapi berpatah balik masuk melalui mesin pengimbas lalu penguatkuasa kita terus tahan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, ayam sejuk beku tertakluk kepada permit di bawah Butiran Satu, Bahagian Satu, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Katanya, modus operandi digunakan suspek adalah dengan membuat pengikraran yang tidak benar bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 133 (1)(a)Akta Kastam 1967,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN