Jambatan Pos Balar siap lebih awal

Jambatan Pos Balar siap lebih awal

KERJA-kerja pembinaan jambatan Pos Balar, Gua Musang, Kelantan berjalan lancar ketika ini dan dijangka siap lebih awal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Projek pembinaan jambatan Pos Balar di sini, yang runtuh pada 9 Mac lalu akibat dihanyutkan arus deras sungai mencatat kemajuan kerja sebanyak 35 peratus dan dijangka siap lebih awal daripada jadual asal.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Orang Asli Gua Musang, mengikut jadual asal kerja-kerja pembinaan itu siap sepenuhnya pada 1 Oktober ini.

“Alhamdulillah, kerja-kerja pembinaan berjalan lancar meskipun berdepan dengan beberapa cabaran, termasuk faktor cuaca yang tidak menentu di kawasan pedalaman,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Penghulu Pos Balar, Osman Anjang bersyukur apabila proses pembinaan se­mula jambatan itu berjalan lancar.

Katanya, pembinaan berke­naan bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk malah membolehkan murid-murid kembali semula ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, selepas empat bulan bergadai nyawa meredah arus sungai deras dan melalui jambatan sementara, penduduk Orang Asli di Pos Balar menarik nafas lega apabila pembinaan jambatan kekal masuk ke penempatan itu sudah bermula.

Kejadian kepala air yang ke­rap berlaku telah menyebabkan jambatan yang menghubungkan kampung dengan sekolah tersebut kerap rosak.

Jambatan utama menghu­bung­kan kampung tersebut pula runtuh sejak 9 Mac lalu, menjadikan laluan ke sekolah bukan sekadar sukar malah sangat berbahaya.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli baru-baru ini menyegerakan pembinaan jam­batan di Pos Balar bernilai RM400,000 bagi menggantikan kemudahan yang runtuh dihanyutkan arus deras pada 9 Mac lalu itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×