KANGAR: Persaingan merebut slot jawatan Naib Presiden Pas dalam pemilihan parti itu bulan depan diramal sengit khususnya antara Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Datuk Idris Ahmad.
Selaku orang lama dalam kalangan ulama, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dijangka kekal manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar juga diramal tidak berdepan masalah mengekalkan jawatan.
Pemerhati politik meramal persaingan lebih tertumpu kepada Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah selaku wajah baharu yang dilihat mempunyai kelebihan.
Jika menjadi kenyataan, ia bakal menyaksikan dua daripada tiga jawataN Naib Presiden dikuasai kelompok profesional, berbanding tradisi sebelum ini, di mana dua daripada tiga jawatan itu lazimnya milik tokoh ulama.
Jika tradisi dua daripada tiga jawatan Naib Presiden itu kekal menjadi milik kelompok ulama, Mohd. Amar dan Idris akan terselamat dengan Ahmad Samsuri mungkin terpaksa meniti jalan keluar.
Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis, Muhammad Izmer Yusof berkata, keputusan Muhammad Sanusi memasuki gelanggang merebut jawatan Naib Presiden Pas memang sudah dijangka.
Katanya, Muhammad Sanusi mempunyai peluang cerah berdasarkan populariti dan pengaruh kuat.
Ujarnya, tokoh itu juga telah berjaya meletakkan diri sebagai aset Pas dan Perikatan Nasional (PN) khususnya sebagai persediaan mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Populariti Sanusi naik mendadak sebagai panglima pilihan raya dan Menteri Besar Kedah malah keberaniannya berdepan Datuk Seri Anwar Ibrahim, melonjakkan lagi pengaruh beliau
“Peluang Sanusi agak cerah meskipun berdepan calon berpengalaman lain. Beliau mempunyai kekuatan dan di Kedah sokongan terhadap beliau sangat kukuh. Tidak mustahil Sanusi akan menerima sokongan yang cukup besar dalam pemilihan nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Muhammad Izmer, Idris mempunyai pengalaman luas di dalam parti, namun dilihat kurang popular.
“Ia berbeza dengan Mohd Amar yang masih mempunyai pengaruh yang kuat di Kelantan. Selaku Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, beliau mempunyai pengaruh di dalam kerajaan negeri.
“Meskis Sanusi dilihat sebagai pilihan namun tidak boleh ambil mudah khususnya terhadap saingan daripada orang lama seperti Mohd. Amar dan Idris kerana masing-masing mempunyai kelebihan,” katanya.
Dalam pada itu, persaingan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat juga diramal sengit dengan penampilan nama-nama besar seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa selain Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang membuat kemunculan semula.-UTUSAN.











