Identiti lima remaja didakwa buli Zara Qairina dilindungi

Identiti lima remaja didakwa buli Zara Qairina dilindungi

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Identiti li­ma remaja yang terlibat dalam kes buli Zara Qairina Mahathir yang bakal didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, Sabah esok tetap akan dilin­dungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, meskipun perbuatan buli sama ada di sekolah mahupun secara dalam talian perlu ditangani secara tegas tanpa kompromi, mereka yang terlibat itu tetap dianggap sebagai kanak-kanak.

“Perlindungan itu terma­suk daripada segi kerahsiaan, hak mendapatkan representasi guaman serta layanan yang adil,” katanya dalam kenyata­an, semalam.

Terdahulu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Su­hakam) menggesa orang ramai agar tidak mendedahkan identiti lima remaja yang bakal didakwa bagi mengelakkan stigma berterusan terhadap mereka.

Suhakam dalam kenyataan berkata, remaja terbabit berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-kanak 2001 termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat guaman serta layanan adil sepanjang prosiding.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seramai li­ma remaja terlibat dalam kes buli Zara Qairina didakwa hari ini.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kesemua remaja itu berusia di bawah 18 tahun dan akan didakwa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan.

Azalina berkata, kerajaan komited membanteras perbuatan buli melalui pelaksanaan pelbagai instrumen perunda­ngan.

Katanya, ia termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, pindaan Kanun Ke­sek­saan, pengukuhan undang-undang perlindungan kanak-kanak menerusi Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (SOAC) 2017–2023, Rang Undang-undang (RUU) Kanak-kanak (Pindaan) 2023 serta pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam.

“Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM juga sedang meneliti cadangan penubuhan tribunal anti-buli siber dan pelantikan Pesuruhjaya e-Ke­selamatan.

“Langkah ini bertujuan menyediakan penyelesaian pantas kepada mangsa, pemulihan kepada pelaku serta pendidikan keselamatan digital khususnya kepada kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN