KOTA BHARU: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) melihat syor pelaksanaan semula hukuman rotan di sekolah bukan bersifat penderaan fizikal atau mental sebaliknya satu bentuk tarbiah kepada pelajar dalam usaha membendung gejala buli.
Pengerusi Tetapnya Nik Saiful Adli Burhan berkata, dalam konteks pendidikan Islam, rotan adalah kaedah tarbiah yang diiktiraf syarak dan bertujuan mendidik, bukan mencederakan.
“Rasulullah SAW sendiri menganjurkan supaya anak-anak diajar solat seawal umur tujuh tahun, dan boleh dikenakan hukuman rotan pada usia sepuluh tahun sekiranya masih enggan melakukannya.
“Ini menunjukkan rotan adalah instrumen pendidikan, bukan simbol kekerasan. Kita tidak pernah dengar generasi dahulu jadi ‘gila’ atau trauma kerana dirotan. Sebaliknya, mereka membesar sebagai insan yang tabah, berdisiplin dan menghormati guru serta ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, penggunaan rotan kepada semua guru perlu dikembalikan sebagai langkah mendisiplinkan pelajar sekali gus mengelakkan kes buli di sekolah.
Sementara itu, Nik Saiful Adli berkata, cadangan memperkenal laungan ‘Kami Anti Buli’ di sekolah hanya bersifat simbolik dan tidak cukup ampuh untuk menangani salah laku pelajar yang semakin berleluasa.
Katanya, laungan itu hanyalah peringatan asas dan tidak mampu menggantikan keberkesanan hukuman rotan yang memberi kesan langsung terhadap pembentukan tingkah laku pelajar.
“Satu ketika dahulu, sistem pendidikan negara pernah mengamalkan rotan secara berhemah, dan hasilnya dapat dilihat dalam pencapaian serta keperibadian pelajar pada era itu.
“Jadi saya menyeru agar hukuman rotan dikekalkan dengan tatacara pelaksanaan (SOP) yang jelas demi memelihara keharmonian suasana pembelajaran di sekolah.
“Tiada sistem pendidikan atau undang-undang yang sempurna tanpa hukuman. Jika jenayah memerlukan hukuman, begitu juga kesalahan disiplin pelajar. Rotan adalah peringatan tegas bahawa setiap kesalahan ada akibatnya,” katanya.-UTUSAN.










