‘Hormati undang-undang, jangan jadi polis, peguam atau hakim’

‘Hormati undang-undang, jangan jadi polis, peguam atau hakim’

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang atau bersikap se­­perti ‘vigilante’ dalam mena­ngani sebarang isu berbangkit.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kenyata­an Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam wajar dijadikan peringatan supaya setiap pihak menyerahkan proses undang-undang kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

“Serahkan kepada polis untuk siasatan, kepada AGC untuk pendakwaan dan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Ja­ngan kita bertindak menjadi polis, peguam dan hakim pada masa yang sama. Itu salah.

“Kita tahu ada yang berarak kononnya mahu ‘mengajar’ pihak tertentu. Ada antara mereka sudah dipanggil polis. Serahkan sahaja kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar memainkan pe­ranan dalam memupuk sema­ngat patriotisme terutama da­lam bulan kemerdekaan.

“Kalau nampak Jalur Gemilang jatuh, angkatlah. Kalau pudar, gantikan dengan yang baharu. Kalau dipasang terbalik atau salah, betulkan de­ngan tangan sendiri. Jangan kita mencemuh atau memaki hamun. Ambil pendekatan beradab dan bersemangat patriotik,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, AGC memberi amaran sebarang perbuatan me­maparkan, mengibarkan atau memasang bendera Malaysia secara tidak wajar boleh dikenakan tindakan undang-undang.

AGC dalam kenyataan berkata, jabatan itu memandang serius beberapa insiden mutakhir, termasuk pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang dan di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN