PETALING JAYA: Helikopter utiliti pengangkut taktikal sederhana merupakan antara aset yang menjadi keutamaan untuk dimiliki Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) bagi memperkukuhkan keupayaan operasi di barisan hadapan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, rancangan pembangunan dan pemilikan aset tersebut adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang bagi mempertingkatkan mobiliti udara serta sokongan logistik kepada pasukan darat.
“Ia merupakan antara keupayaan yang menjadi keutamaan ingin dibangunkan oleh Tentera Darat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Perolehan helikopter PUTD sebelum ini dibuat bagi menggantikan pesawat Sikorsky S-61 Nuri yang ditamatkan kira-kira lima tahun lalu.
Terdapat beberapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikan helikopter Nuri antaranya Sikorsky UH-60 Black Hawk; H225M Airbus; KUH-1 Surion dan Mi-17A2.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim baru-baru ini bertitah supaya Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.
Susulan daripada itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, pihaknya tidak akan mengusulkan Black Hawk dalam tender baharu yang dibuka awal Ogos lalu.
Kementerian Pertahanan pada November tahun lalu telah menyerahkan notis pembatalan kepada kontrak sewaan empat helikopter UH-60 Black Hawk selepas gagal mematuhi tarikh akhir penyerahan selepas dilanjutkan 30 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain ketika ditanya sama ada syarikat pembekal yang gagal memenuhi kontrak sewaan Black Hawk untuk PUTD didenda atau tidak berkata, beliau tidak mengetahui sebarang maklumat berhubung perkara berkenaan.
Katanya, segala urusan berkaitan kontrak perolehan aset ATM termasuk Tentera Darat dibawah tanggungjawab Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan.
“Kami Tentera Darat adalah pengguna akhir. Pengurus kontrak adalah Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan.
“Jadi merekalah yang bertanggungjawab berkaitan perihal kontrak berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN










