Helang putih dipilih maskot rasmi Sukma Selangor 2026

Helang putih dipilih maskot rasmi Sukma Selangor 2026

Helang putih
DUA watak helang putih yang menjadi maskot rasmi SUKMA Selangor 2026 yang dilancarkan secara rasmi di Shah Alam, Selangor malam tadi. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor mengulangi sejarah penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dengan memilih helang putih sebagai maskot rasmi temasya ke-22 itu yang akan membuka tirainya pada tahun depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, helang putih merupakan maskot rasmi ketika negeri ini menjadi tuan rumah pada 1998 sebagai simbol kekuatan, keberanian dan ketangkasan.

“Maklum balas yang diterima sekretariat daripada pelbagai pihak mencadangkan helang putih dikekalkan sebagai maskot SUKMA Selangor 2026,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Logo, Maskot, Tema dan dan 1 Year Countdown Sukma ke-22, malam tadi.

Majlis pelancaran logo dan maskot temasya itu disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kata Mohd. Najwan, helang putih mudah ditemui di kawasan laut di negeri ini seperti daerah Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Menurutnya, pihaknya belum menamakan lagi maskot tersebut, yang terdiri daripada sepasang helang putih dan mengalu-alukan orang ramai memberikan cadangan nama kepada pasangan itu.

“‘Rentak Kita, Aksi Kita’ dipilih sebagai tema temasya kali ini kerana setiap atlet akan mempamerkan persembahan tersendiri dalam sukan yang disertai mereka. Saya berharap Sukma Selangor berlangsung meriah dan setiap atlet dapat memberikan prestasi terbaik pada temasya itu,” ujarnya.

Tambah Mohd. Najwan ketika ini hampir kesemua lokasi penganjuran yang menjadi gelanggang 44 sukan yang akan dipertandingkan sedang dimuktamadkan.

“Sekretariat SUKMA Selangor memerlukan 3,000 sukarelawan dan mengalu-alukan penyertaan orang awam.Setakat ini, anggota SERVE (Selangor Volunteer) dan Team Selangor menjadi sukarelawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN