KUALA PILAH: Tiada guru, tiada kelas khusus, namun itu tidak menghalang seorang lelaki masyarakat Orang Asli di Johol di sini untuk menghasil produk-produk kraftangan sehingga sambutan pelanggan termasuk dalam kalangan pelancong luar negara.
Bah Rizal Baek, 58, berkata, kehadirannya ke sebuah karnival usahawan membuka matanya tentang pelbagai teknik menghasilkan kraftangan, lalu mendorongnya untuk mencuba sendiri di rumah.
Lelaki dari suku Semai itu berkata, kemahiran menghasilkan kraftangan diperoleh menerusi pemerhatian dan percubaan yang dilakukan berulang-kali.
“Saya selalu berkunjung ke karnival usahawan, jadi di situ saya mula terinspirasi untuk hasilkan sendiri kraftangan selepas kagum melihat produk yang dihasilkan.
“Saya tidak pernah belajar dengan sesiapa secara formal. Kadang-kadang sahaja saya akan bertanya dengan kawan yang juga pengusaha kraftangan.
“Kebanyakannya saya belajar sendiri dengan memerhati rekaan kraf yang dihasilkan dan saya cuba faham dan buat ikut gaya sendiri,” katanya kepada ketika ditemui di Kampung Orang Asli Langkap Dangi, Johol, di sini.
Tambah Bah Rizal, dia mula serius menghasilkan kraftangan Orang Asli sekitar tahun 2013 selepas mula mendapat sambutan yang menggalakkan dari dalam dan luar Negeri Sembilan.
“Saya banyak menerima tempahan daripada agensi seperti kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kampung Orang Asli dari dalam dan luar Negeri Sembilan untuk dijadikan sebagai cenderamata untuk program dan majlis mereka,” katanya.
Dia memberitahu, turut dibantu oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang menyediakan bantuan kewangan serta kemudahan peralatan bagi memudahkan proses pembuatan dan pemasaran kraftangannya.
“Mula-mula saya hanya buat anyaman dan lukah sahaja tetapi selepas mendapat sambutan menggalakkan barulah saya mula serius untuk menjual dan menghasilkan sendiri dengan bimbingan Jakoa dan Risda,” katanya.
Katanya, daripada usaha yang bermula secara kecil-kecilan, Bah Rizal kini mampu menghasilkan pelbagai kraftangan seperti miniatur rumah Orang Asli, anyaman, lukah, bakul anyaman dan replika senjata tradisional Orang Asli menggunakan rotan, bertam, buluh serta kayu cengal.
“Kalau buat replika rumah, sekurang-kurangnya empat hari baru siap. Semua kraf yang dihasilkan menggunakan tangan tanpa bantuan mesin. Isteri saya juga akan membantu untuk meraut rotan, bertam dan buluh bagi mempercepatkan proses pembuatan.
Dalam pada itu, Bah Rizal berkata antara kenangan paling manis baginya adalah apabila pernah menerima pelanggan yang memborong hasil krafnya bernilai hampir RM2,000 untuk dijadikan hiasan di pejabat.-UTUSAN.










