KUALA LUMPUR: Hampir 11,000 pesakit buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru masih menunggu penderma organ sehingga Julai lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly berkata, kes pesakit yang menunggu penderma organ baharu mencatatkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tahun lalu
Menurutnya, jumlah penderma selepas kematian masih kecil dengan hanya 46 kes atau 1.33 penderma per sejuta penduduk berdasarkan data Pendaftaran Antarabangsa dalam Pendermaan Organ dan Pemindahan (IRODAT) 2024.
Katanya, sehingga Julai lalu, lebih 400,000 penderma organ sudah menyatakan ikrar untuk menderma organ.
“Ini termasuk lebih 16,000 pengikrar baharu tahun ini melalui modul ‘Organ Donor Pledge’ melalui platform MySejahtera.
“Hasilnya, lebih 3,300 pemindahan berjaya dilaksanakan setakat ini, iaitu 1,121 daripada mereka yang sudah meninggal dunia dan 2,238 daripada penderma hidup.
“Faktor utama jumlah penderma organ masih kecil kerana waris tidak memberi kebenaran organ penderma diambil walaupun sebelum ini sudah berikrar. Pihak kementerian menghormati keputusan itu,” katanya semasa merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Tisu (MKPO) Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan ‘Derma Organ: Warisku, Hormati Ikrarku’ di Taman Tasik Titiwangsa di sini, semalam.
Dzulkefly berkata, agenda pendermaan organ dan transplan akan dijadikan sebahagian kerjasama kesihatan ASEAN, sebagai persediaan menjelang Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN Health Ministers’ Meeting (AHMM) 2026.
“Bagi menonjolkan kepemimpinan Malaysia dalam kesihatan global bermula dari ASEAN, transformasi Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) kepada Pusat Pemindahan Kebangsaan (NTC) sedang dirangka dan kini dalam fasa libat urus bersama pemegang taruh.
“Ini bertujuan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kapasiti serta mempercepat inovasi dalam perkhidmatan pendermaan dan transplan,” katanya.
Sementara itu, statistik di NTRC menunjukkan, pesakit buah pinggang paling ramai menunggu derma organ.
Menurut perangkaan itu, setakat Julai lalu, daripada hampir 11,000 pesakit yang menunggu derma organ, seramai 10,441 pesakit dewasa dan 335 pesakit kanak-kanak sedang menunggu transplan buah pinggang.
Sementara itu, lima pesakit hati (tiga dewasa dan dua kanak-kanak) dilaporkan turut menunggu giliran selain 12 pesakit jantung, tiga (paru-paru), sembilan (gabungan jantung dan paru-paru). – UTUSAN










