ARAU: Generasi Z (Gen Z) yang membesar dengan ledakan media sosial seperti TikTok, Instagram dan kecerdasan buatan (AI) bakal menjadi penentu hala tuju masa depan Malaysia sekiranya mereka bijak memanfaatkan ruang digital yang ada.
Namun, adakah generasi berkenaan benar-benar sudah menggunakan suara mereka melalui platform tersebut ke arah menyebarkan nilai-nilai positif.
Ataupun mereka sekadar menjadi penumpang yang leka dan pasif dengan media sosial yang ada.
Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Ahmad Nabil Nazari, 24, berkata, generasi muda perlu bertanya kepada diri sendiri apa makna sebenar kemerdekaan, terutama mereka yang lahir jauh selepas 1957 dan tidak merasai sendiri getir perjuangan menentang penjajah.
Katanya, kemerdekaan bukan sekadar cuti umum atau simbol kebebasan sebaliknya warisan pengorbanan besar yang wajib dipelihara dengan sepenuh hati.
“Hari ini perjuangan kita bukan lagi di medan perang tetapi di ruang digital, bilik kuliah, medan sukarelawan dan dunia pekerjaan. Ancaman kini hadir dalam bentuk kemalasan, sikap tidak peduli serta kehilangan jati diri.
“Jika dahulu musuh datang dengan senjata, kini ia hadir dalam bentuk berita palsu, budaya individualistik dan sikap apati yang melemahkan semangat kebangsaan. Senjata kita bukan lagi peluru tetapi ilmu, kesedaran dan tindakan kolektif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pelajar Sarjana Sains (Komunikasi dan Teknologi Maklumat) itu berkata, cabaran terbesar Gen Z adalah memastikan kemerdekaan kekal terpelihara daripada perpecahan, kebencian dan ketidaktentuan.
“Gen Z bukan generasi leka. Kita adalah generasi harapan. Jika mahu Malaysia terus aman, langkah itu mesti bermula daripada diri sendiri, menjaga tutur kata, menghormati perbezaan dan mengamalkan nilai murni,” katanya.
Menurut Ahmad Nabil, sambutan kemerdekaan seharusnya tidak terhenti pada gaya berpakaian bertema patriotik atau sekadar hiasan di media sosial.
Sebaliknya, ia perlu diterjemah melalui sumbangan kecil yang membawa makna besar.
“Kesedaran itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk, berkongsi kisah inspirasi di media sosial, menganjurkan program kesedaran di sekolah atau universiti, malah sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga di halaman rumah.
“Apabila ramai orang muda mula sedar dan bangkit, negara ini akan menjadi lebih kuat,” katanya lagi.-UTUSAN.










