TEMERLOH: Ketika enam lokasi di seluruh negara kini mencatatkan suhu luar biasa antara 35 hingga 37 darjah Celsius susulan gelombang haba, penduduk di bandar ini memilih pendekatan paling santai, duduk di bawah pokok besar sambil menikmati tiupan angin Sungai Pahang.
Suasana di Temerloh masih terkawal dan tidak sepanas bandar-bandar besar lain kerana bandar ikan patin itu masih dikelilingi pokok rendang dan kawasan lapang yang berangin, menjadikannya lokasi healing harian penduduk setempat.
Penduduk Kampung Lubuk Kawah, Ab. Razak Abdul Rahman, 56, berkata, dia setiap pagi memancing dan bersantai di bawah pohon besar di tepi Sungai Pahang sebelum pulang menjelang tengah hari bagi mengelak cuaca terik.
“Cuaca panas sekarang memang mencabar. Tetapi Temerloh ni banyak pokok besar, kawasan lapang tepi sungai pun berangin. Tak rasa terik sangat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abd. Kadir Ibrahim, 62, dari Kampung Lebak Seberang pula berkata, walaupun cuaca panas, dia tidak perlu menggunakan pendingin hawa sepanjang masa kerana angin dari Sungai Pahang masih mendinginkan suasana.
“Kalau duduk bawah pokok rambutan belakang rumah pun selesa. Tetapi saya tetap kurangkan kerja berat siang hari dan minum air kosong lebih,” katanya.
Mustakim Wahidi, 45, dari Kampung Paya Kechik berkata, dia menukar waktu kerja di bengkel kepada awal pagi dan lewat petang bagi mengelak tempoh cuaca paling panas sekitar tengah hari.
“Saya juga sediakan topi, kipas mudah alih dan basahkan kepala bila cuaca terlalu panas,” katanya.
Sementara itu, seorang guru, Sukriah Tarmizi, 35, berkata, murid-murid di sekolahnya di Temerloh diingatkan untuk membawa bekalan air sendiri dan tidak terlalu aktif di luar kelas.
“Kami minimumkan aktiviti luar bilik darjah dan beri taklimat ringkas mengenai strok haba,” katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Esplanade Temerloh mendapati, ramai pengunjung masih bersantai walaupun pada tengah hari kerana kawasan tersebut teduh dan berangin.
Sementara itu, di Maran, penduduk turut menyesuaikan rutin harian dengan memilih lokasi semula jadi untuk menyejukkan badan.
Air terjun seperti Lubuk Yu, Che Minah Sayang (Lubuk Ujid) dan Teladas menjadi pilihan ramai untuk berkelah atau mandi manda, terutama pada waktu tengah hari dan hujung minggu.
“Air mengalir dari celah batu gunung memang sejuk, ditambah angin sepoi bahasa dan redup pokok-pokok hutan asli. Hilang rasa panas,” kata Azlizah Aziz 48, dari Kampung Kuala Sentul. – UTUSAN









