PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempunyai dasar baharu dengan mengehadkan pengambilan pekerja asing sekiranya gaji wajar mahu dilaksanakan.
Ini kerana, kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing yang menerima upah lebih murah dilihat antara faktor kesukaran pelaksanaan gaji wajar di negara ini.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan perlu mengambil langkah segera mengehadkan dasar tersebut yang disifatkan sebagai keuntungan atas keperluan.
Katanya, lebih mendukacitakan, pekerja tempatan juga terpaksa ‘bersaing’ dengan warga asing yang dalam pelbagai aspek.
“Pekerja asing tidak perlu dibayar upah kerja lebih masa dan tidak kisah sama ada syarikat mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau tidak, sebab itu pekerja tempatan perlu bersaing,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan, rakyat Malaysia memerlukan pendapatan minimum RM3,000 sebulan bagi menampung kehidupan asas terutama di ibu negara dan bandar besar lain.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pelaksanaan gaji wajar di Malaysia memerlukan pendekatan lebih tegas dan bukan hanya bersifat sukarela semata-mata.
Menurutnya, kerajaan perlu menetapkan garis panduan khusus dalam memastikan semua syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mematuhi arahan pelaksanaan gaji wajar.
“Kebanyakan syarikat tiada konsep untuk berkongsi (rezeki). Sebab itu kita ada hak untuk berunding (naikkan gaji) dan biasanya pasti ada halangan.
“Sebab itu perlu ada ada garis panduan tetap dan kukuh. Bukan semata-mata mahu mengambil hati buat dasar kemudian kata ia sukarela,” jelasnya.-UTUSAN.










