G57 tawar bantuan guaman percuma

G57 tawar bantuan guaman percuma

ZULKARNAIN Mahdar sebak ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Memorandum Rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung kes Zara Qairina di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tampil menawarkan bantuan guaman percuma kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan menaja ibunya me­nunaikan ibadah umrah sebagai tanda sokongan moral terhadap keluarga mangsa.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, bantuan itu merupakan komitmen G57 untuk memastikan keluarga pelajar sekolah agama itu memperoleh keadilan sepenuhnya berhubung kematiannya yang disifatkan mencurigakan.

“Meskipun saya bukan ahli keluarga arwah, kehilangan ini terasa sangat dekat kerana saya sendiri mempunyai anak pe­rempuan bongsu seusia arwah. Tidak ada ibu bapa yang sanggup menerima pemergian anak tanpa jawapan dan tanpa keadilan,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Istana Negara, di sini semalam.

Zulkarnain juga telah meng­hubungi ibu kepada Allahyarhamah Zara menerusi mesej peribadi dan menyatakan rasa simpati terhadap kesedihan serta tekanan emosi yang dialaminya.

“Rakaman suara arwah yang tular sebelum pemergiannya jelas menunjukkan ketakutan dan tekanan yang dihadapinya. Kami tidak mahu kes ini berlalu tanpa keadilan,” ujarnya.

Terdahulu, beliau menye­rahkan memorandum rayuan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebagai gesaan agar prosiding inkues terbuka diadakan untuk me­nyiasat punca sebenar kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

Zulkarnain turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini memberi jaminan bahawa tiada pelaku dalam kes tersebut akan dilindungi oleh mana-mana pihak.

“Kenyataan Perdana Menteri itu sangat penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. Namun, pendedahan siasatan secara lebih telus kepada umum juga amat diperlukan,” katanya yang turut menyeru seluruh rakyat Malaysia bersatu memperjuangkan ke­adilan buat Zara Qairina.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN