Eda Ezrin dedah jadual kerja padat hingga hujung September

Eda Ezrin dedah jadual kerja padat hingga hujung September

EDA Ezrin mengakui kembali sibuk apabila jadual kerjaya seninya sudah penuh sehingga September ini.-IHSAN EDA EZRIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin mengakui jadual kerjanya sudah padat sehingga hujung September ini selepas kembali secara rasmi ke dunia seni bermula semalam.

Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, berkata, ia melibatkan ulasan produk kecantikan, restoran dan kedai makanan serta rakaman lagu-lagu yang akan dimuat naik menerusi platform YouTube.

“Buat masa ini saya lebih selesa bergerak di belakang tabir dan belum bersedia membuat penampilan di atas pentas bagi tujuan persembahan.

“Hal ini kerana saya masih belum mempunyai keyakinan. Buat masa ini saya mahu memberikan tumpuan kepada membina semula kerjaya seni,” katanya ketika ditemui di Pantai Bisikan Bayu di sini, semalam.

Ia merupakan penampilan secara rasmi pertama Eda Ezrin di depan khalayak selepas dibebaskan dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand pada 6 Ogos lalu.

Eda Ezrin meluahkan rasa syukur apabila dia dan suami serta empat lagi rakan dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Narathiwat atas pertuduhan memiliki dadah.

Katanya, pembebasan itu secara tidak langsung membersihkan namanya dan suami.

“Lebih menggembirakan lagi peminat di luar sana memberikan sokongan padu dan kata-kata semangat bila saya bertemu dengan mereka.

“Rata-rata peminat mahu saya terus melangkah ke hadapan dan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk bangkit semula dalam hidup serta kerjaya seni,” ujarnya.

Eda Ezrin berkata, dia menzahirkan ucapan terima kasih buat seluruh peminat yang terus memberikan sokongan kepada perjalanan kerjaya seninya sepanjang berdepan dengan ujian berat sembilan bulan lalu.

Katanya, sepanjang tempoh itu pelbagai kata-kata semangat diterima melalui laman sosial Facebook dan Instagram.

“Saya telan segala kecaman dari sesetengah pihak. Kritikan buruk saya jadikan pengajaran, manakala sokongan daripada peminat memberi semangat untuk saya terus berkarya,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.

Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN