Dua atlet remaja angkat berat rayu tajaan Felda

Dua atlet remaja angkat berat rayu tajaan Felda

Ahmad Janius Abdullah (tengah) menyerahkan dokumen permohonan penajaan kepada Faireez Zulkifli di pejabat Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, Nyalas, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Dua orang atlet remaja angkat berat dari Melaka yang ‘berguru’ di Thailand selama tujuh tahun sebagai persiapan memburu pingat pada Sukan Olimpik 2032 di Brisbane, Australia memohon tajaan daripada pihak Lembaga Kemajuan Ta­nah Persekutuan (Felda).

Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata, beliau memohon tajaan tersebut kerana dua atlet iaitu Norharis Norasri, 13, dari Felda Bukit Senggeh dan Muhammad Ilham Hakim Samsur, 13, dari Taman Nyalas Baru sangat memerlukannya.

Menurutnya, beliau memohon tajaan daripada Felda memandangkan salah seorang atlet tersebut adalah anak jati dari Felda Bukit Senggeh.

Katanya, kedua-dua atlet tersebut mempunyai potensi besar menyumbang pingat di Brisbane, Australia dan kini mereka sedang menjalani latihan di Sekolah Sukan Nakhon Ratchasima, Thailand.

Katanya, pemergian mereka ke Nakhon Ratchasima me­nerima sedikit bantuan daripada Persatuan Angkat Berat Putrajaya tetapi ia tidak mencukupi untuk membiayai sekolah dan sepanjang latihan tujuh tahun berada di sana.

“Setakat ini belum ada penaja rasmi yang menyokong sepenuhnya program pembangunan jangka panjang kedua-dua atlet ini.

“Saya atas inisiatif selaku pemilik pusat latihan angkat berat di Kesang Tua tempat kedua-dua atlet ini menjalani latihan tekad untuk mencari penajaan termasuk daripada Felda untuk membantu mereka,” ujarnya kepada Utusan Malaysia selepas menyerahkan permohonan tajaan kepada Pengurus Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, Nyalas, Faireez Zulkifli di sini.

Ahmad Janius berkata, ke­dua-dua atlet itu kini telah me­nunjukkan peningkatan prestasi yang menyakinkan.

Sementara itu Faireez berkata, beliau akan menyerahkan permohonan penajaan dua atlet tersebut kepada pihak pengurusan tertinggi Felda dalam masa terdekat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×