Cuaca panas jejas kehidupan rakyat

Cuaca panas jejas kehidupan rakyat

ETNIK Cina hanya layak menuntut pemilikan bersama ke atas negara ini sekiranya mengimbangi kemakmuran ekonomi-sosial secara munasabah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cuaca panas luar biasa dengan suhu men­ce­cah antara 35 hingga 37 dar­jah Celcius yang dicatatkan di enam lokasi di negara ini kian me­resahkan rakyat.

Fenomena ini yang berlaku akibat fasa Monsun Barat Daya dijangka melanda negara sehingga pertengahan Oktober ini memaksa orang ramai mengu­bah dan mengehadkan aktiviti luar bagi mengelak risiko keletihan melampau dan dehidrasi.

Sekolah-sekolah di beberapa daerah di Kedah, Perak, Pahang, Kelantan dan Sabah juga bersedia ditutup jika mendapat arahan daripada Kementerian Pendidikan.

Di Bandar Baharu, Kedah, seorang pekerja Majlis Daerah Bandar Baharu, Mohamad Nazar Shaari, 56, berkata, cuaca panas memerlukan dia memu­lakan tugas lebih awal bagi me­ngelak bahang yang semakin terik menjelang tengah hari.

“Sejak dua tiga hari ini, seawal pukul 9 pagi sudah terasa panasnya. Jadi saya mula kerja lebih awal supaya dapat siapkan tugas sebelum matahari terlalu terik.

“Mujurlah di kawasan Dataran Bandar Baharu ini masih ada pokok-pokok besar yang membantu mengurangkan bahang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Bandar Baharu dicatatkan antara enam lokasi di negara ini yang mengalami gelombang haba luar biasa dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celcius.

Fauzi Marzuki, 49, dari Selayang, Selangor memilih kolam mandi MKA Adventure di Kampung Paya Takung, di sini sebagai lokasi beristirehat bersama keluarga untuk menyejukkan badan.

“Cuti hujung minggu ini saya pulang ke kampung di sini kerana ada urusan keluarga, tetapi keadaan cuaca yang panas menyebabkan saya bawa mereka ke kolam mandi ini kerana airnya dari bukit, sejuk dan menyegarkan,” katanya.

Bagi pekerja MKA Adventure, Rizhan Abdul Rashid, 25, jumlah pengunjung ke lokasi rekreasi tersebut juga meningkat sejak Jumaat lalu kerana ramai memilih untuk menyejukkan badan akibat bahang cuaca.

“Pengunjung yang mandi di kolam kami memang ramai dan bayaran masuk pula hanya RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak untuk menikmati kesegaran air bukit,” katanya.

Di Alor Setar, cuaca panas berterusan yang melanda beberapa daerah di Kedah terutama Bandar Baharu, Kulim dan Baling sejak Sabtu lalu belum mencetuskan sebarang kes strok haba dalam kalangan penduduk di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, bagaimanapun trend kemasukan dan menerima rawatan di hospital atau klinik meningkat sedikit di tiga daerah itu.

“Setakat ini tiada info atau laporan berkaitan kes strok haba tetapi dengan cuaca sebegini, memang dijangka berlaku peningkatan kes demam, batuk, asma dan selsema.

“Memang ada sedikit peningkatan dalam bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital, namun masih dalam kawalan dan belum mencapai tahap membimbangkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar meminum air kosong secukupnya selain mengelak aktiviti fizikal yang terlalu lama di luar ketika cuaca panas.

“Kanak-kanak dan warga emas paling terdedah kepada penyakit berkaitan cuaca ini, kita harap masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Di Tapah, Perak pula, pengetua dan guru besar sekolah di Selama diminta supaya menangguhkan buat sementara, semua aktiviti bersifat fizikal di luar sekolah ekoran gelombang haba luar biasa di kawasan itu dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah celsius.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, penangguhan itu bukan mandatori tetapi bersifat sementara sehingga tahap suhu kembali normal.

“Difahamkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), cuaca akan berubah selepas September (Oktober). Kalau boleh hentikan sahaja aktiviti-aktiviti luar (fizikal) di sekolah.

“Sekiranya ingin diadakan pun pada waktu pagi sejam atau dua jam sudah mencukupi. Aktiviti sukan dan aktiviti-aktiviti luar tolong tangguhkan,” katanya.

Bagaimanapun di Sabah, Exco Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, pihaknya akan meneliti keperluan untuk menutup sekolah atau menghadkan aktiviti luar di sekolah akibat gelombang haba yang melanda beberapa negeri.

“Kita kena tunggu sidang akhbar Menteri Pendidikan berkenaan perkara tersebut, baru disusuli oleh Exco Pendidikan Negeri,” beliau berkata kepada Utusan Malaysia di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN