REMBAU: Syarikat pengeluar air mineral beroksigen semula jadi,
Bubbles O2 Sdn. Bhd. (Bubbles O2) terus mengorak langkah memperkukuhkan jenamanya melalui platform sukan.
Pengerusi Bubbles O2 Sdn. Bhd., Arifin Marzuki berkata, kali ini mereka menjalinkan kerjasama dengan pihak Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB).
Katanya, langkah itu adalah seiring hasrat syarikat berkenaan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, Bubbles 02 sebelum ini sudah pun menjadi Rakan Rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan inisiatif Road to Gold (RTG), serta Rakan Rasmi kojahanan National Baseball League (NBL).
“Kami juga terlibat kerjasama dalam kejohanan berprestij seperti Petronas Le Tour de Langkawi (PLTDL), Malaysia Football League (MFL) di semua peringkat umur, sekali gus menjadikan sukan sebagai satu pemacu utama kejayaan memperkukuhkan lagi jenama ini.
“Kami juga terbuka untuk menjadi rakan niaga strategik dengan persatuan sukan yang lain terutamanya bola sepak dalam merancakkan lagi arena sukan di negara ini,” katanya.selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Kerjasama Strategik TFCSB dan Bubbles 02 di Pedas, di sini, hari ini.
Kedua-dua pihak diwakili Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al Bajrai dan Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2 Sdn. Bhd. Abdul Aziz Arifin sambil disaksikan oleh Arifin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Dalam pada itu, Ariffin berkata, pihaknya kini sedang mempergiatkan lagi usaha untuk mencari sumber air asli di negeri-negeri lain bagi memenuhu permintaan yang semakin menggalakkan.
Menurutnya, Bubbles O2 merupakan satu-satunya air mineral semula jadi dengan kandungan oksigen tinggi di Malaysia dan usaha mencari sumber air adalah agak mencabar.
“Buat masa ini, selain di Negeri Sembilan, ada dua negeri lagi yang kami sudah kenal pasti sumber air mineral semula jadi ini.
“Namun, untuk memastikan kandungan oksigen dalam air adalah agak mencabar, ” katanya.
“Katakan jika sumber air baharu itu sama dengan kualiti air yang diperoleh di Rantau ini, kami akan bagunkan dengan jenama yang sama. Namun, jika tidak, mungkin kita akan bangunkan dengan jenama lain,” katanya.
Selain itu menurutnya, berdasarkan rekod tahun kewangan Jun 2024 hingga Jun 2025, jualan air Bubbles 02 mencapai jualan sebanyak 35 juta dan pihaknya menyasarkan jualan sekali ganda lagi tahun kewangan semasa.-UTUSAN.










