Bersesak dalam rumah satu bilik

Bersesak dalam rumah satu bilik

KEADAAN sebuah bilik yang sempit di PPR Loke Yew, Kuala Lumpur. – UTUSAN/NUR IZATUL AZWA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tinggal di rumah yang hanya mempunyai sebuah bilik cukup ‘melemaskan’ bagi kebanyakan kita.

Bayangkan pula jika rumah berkenaan dihuni oleh lapan orang iaitu ibu bapa bersama enam anak, ia pasti ‘menyeksakan.’

Itulah realiti kehidupan yang perlu dilalui oleh penghuni PPR Loke Yiew di sini, di mana ada yang sudah tinggal di penempatan itu selama lebih 30 tahun.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati flat satu bilik itu bukan sahaja usang tetapi sendat dan padat kerana rata-rata ia dikongsi oleh empat hingga lapan orang penghuni.
Selain itu kemudahannya juga tidak sempurna termasuk lif yang kerap tidak berfungsi kerana sudah dimakan usia yang mengundang bahaya termasuk boleh mengancam nyawa.

Seorang penduduk, Saravanan, 55, berkata, dia sudah 30 tahun tinggal di flat usang itu bersama isteri dan enam anaknya.

Menurut peniaga kecil-kecilan itu, pengalaman membesarkan enam anak dalam rumah satu bilik cukup mencabar dan membuktikan keperluan pembaharuan kawasan bandar demi keselesaan.

“Dulu kami lapan orang duduk dalam rumah satu bilik. Memang sempit, tapi terpaksa juga sebab sudah banyak kali mohon bantuan, tetapi tidak dapat.

“Sekarang, empat orang anak saya sudah berkahwin dan me­netap bersama suami masing masing. Sekali sekala mereka akan datang melawat bersama cucu,” katanya ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Seorang bapa kepada empat orang anak, Muhd Hairul, 27, berkata, keadaan PPR itu ketika ini tidak teratur dengan peningkatan masalah asas termasuk kemudahan awam yang tidak diselenggara dengan baik.

“Saya rasa ini satu inisiatif terbaik daripada kerajaan sebab ia akan membuatkan pembaharuan terhadap penempatan rakyat B40. Kalau tengok kebanyakan PPR di sekitar Kuala Lumpur memang agak tidak teratur dan bermasalah,” katanya.

Tambahnya, usaha kerajaan membina semula kediaman de­ngan lebih selesa termasuk menyediakan rumah minimum tiga bilik memberi harapan baharu kepada penduduk bandar.

“Pada saya tiada masalah untuk membuat pembaharuan kerana saya yakin kerajaan sedang membina semula penempatan yang lebih selesa malah dari rumah satu bilik akan digantikan dengan sekurang-kurangnya tiga bilik.

“Rumah baharu lebih selamat dan sesuai untuk anak-anak membesar. Pada akhirnya, inisiatif ini memberi manfaat kepada masyarakat Melayu di bandar supaya mereka memperoleh kehidupan lebih baik dan bebas daripada kemiskinan, bukannya untuk menyekat hak rakyat se­perti yang didakwa,” katanya.

Dalam persidangan Dewan Rakyat kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB)­ 2025 bertujuan melindungi ke­pentingan rakyat khususnya orang Melayu di kawasan ban­dar agar tidak terus hidup da­lam kemiskinan.

Justeru, Perdana Menteri ber­kata, dakwaan RUU PSB 2025 bertujuan meme­cahkan demografi majoriti Melayu kepada bukan Melayu adalah tuduhan tidak berasas.

Penduduk yang ditemui justeru menyifatkan RUU PSB sebagai inisiatif terbaik kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat B40 khususnya bagi keluarga besar yang terpaksa berkongsi ruang di rumah yang sempit.

Seorang lagi penghuni, Amirah Supardy, 35, berkata, dia me­netap di kediaman yang mempunyai dua bilik bersama ibu bapa serta seorang adiknya yang sudah berkahwin sejak sembilan tahun lalu.

“Kalau duduk dengan keluarga besar, memang banyak kena bertolak ansur. Kadang-kadang soal bilik, soal perbelanjaan harian pun jadi cabaran. Tapi nak buat macam mana, keadaan hidup sekarang memang begitu.

“Kalau dapat pembaharuan rumah dengan saiz yang lebih sesuai, saya yakin hubungan keluarga pun jadi lebih harmoni sebab masing-masing ada ruang sendiri,” katanya.

Bagi warga emas, Chun Kar Fook, 80, dia kini menetap bersama tiga adiknya yang masing-masing tidak berkahwin dalam sebuah unit PPR dengan tiga bilik.

“Kami duduk adik-beradik saja, semua belum berkahwin. Kadang-kadang makan pun bergantung pada orang yang jual lauk tak habis, mereka akan beri pada kami,” katanya.

Menurut Chun, keadaan menjadi lebih mencabar apabila salah seorang adiknya tidak lagi mampu bergerak akibat jatuh.

“Sekarang saya juga perlu jaga adik yang sakit. Jadi kalau ada pembaharuan rumah lebih baik, sekurang-kurangnya beban kami akan berkurang dan kalau boleh mahu duduk di aras bawah agar lebih mudah,” katanya yang tinggal di tingkat 18.

Seorang lagi warga emas, Tan Han Seng , 80, berkata, dia bersetuju dengan usaha kerajaan itu kerana ia mampu memberi kediaman yang lebih selesa pada masa hadapan.

“Kalau kita pindahkan tempat ini ia akan jadi lebih cantik. Sudah tentu saya setuju namun ia dilakukan dengan arah yang baik dan mengikut cara yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×