Beri sokongan dengan beli tiket, jangan masuk stadium ‘cemey’ - Haziq Asyraf - Utusan Malaysia

Beri sokongan dengan beli tiket, jangan masuk stadium ‘cemey’ – Haziq Asyraf

RIBUAN penyokong Perlis GSA FC memenuhi stadium dalam aksi pembukaan Liga A1 Semi Pro antara Perlis GSA FC dengan Kedah FA di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis baru-baru ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) menasihatkan para peminat bola sepak di negeri ini agar menyokong pasukan-pasukan dari Perlis yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia dengan membeli tiket bukan memasuki stadium secara ‘cemey’ atau percuma bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Tuanku Syed Putra di sini.

Haziq Asyraf berkata, dalam aksi Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) menentang Kedah FA dalam aksi pembukaan Liga A1 Semi Pro Sabtu lalu, dianggarkan lebih 10,000 penyokong hadir.

Katanya, para penyokong cukup gembira dengan perkembangan bola sepak di negeri ini dan ia seperti mengimbau kenangan zaman kegemilangan Singa Utara sebelum ini.

“Lebih 10,000 penyokong, saya anggarkan hadir dan apa yang boleh diperbaiki iaitu nasihat saya kepada para penonton jangan asyik nak masuk percuma dengan ada yang datang stadium pukul 9.15 dan 9.30 malam. Kena beli tiket yang hanya RM10 kerana dengan duit tiket inilah dapat membantu membangunkan Perlis GSA dan kelab-kelab lain dari negeri ini.

“Bila kita asyik nak ‘cemey’, bila datang masalah kepada kelab, kita serang kelab itu sebab berdepan masalah kewangan. Kita selaku rakyat negeri Perlis, sumbanglah RM10 untuk beli tiket.

“Bayangkan 10,000 penyokong, kita sudah dapat kumpul RM100,000 untuk Perlis GSA pada perlawanan tersebut,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, bola sepak di Perlis kembali hidup dengan kehadiran ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, menyaksikan aksi Perlis GSA FC dan Kedah FA, Sabtu lalu.

Meskipun hanya beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro, namun perlawanan tersebut bagai mengubati kerinduan peminat sejak sekian lama untuk melihat Singa Utara kembali bangkit.

Dalam aksi itu, Perlis GSA menunjukkan semangat luar biasa mengikat Kedah 0-0 meskipun beraksi dengan 10 pemain lebih 60 minit dan tanpa kelibat pemain import.

Sementara itu, Haziq Asyraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri mengucapkan selamat berjuang kepada Perlis GSA FC yang beraksi di Liga A1 Semi Pro.

“Selain Perlis GSA, pasukan dari Perlis Bintong FC dan Kuala Perlis Titan pula akan beraksi dalam Liga A2 selain Arau City FC dalam Piala Emas Raja-Raja. Semua pasukan ini telah mewarnai bola sepak di Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN