Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dipenjara dalam sel berasingan

Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dipenjara dalam sel berasingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee, akan menghabiskan hari pertamanya di penjara dalam sel sama seperti yang didiami suaminya, bekas Presiden Yoon Suk Yeol, ketika pendakwa raya meneruskan siasatan jenayah terhadap pasangan berprofil tinggi itu.

Keon Hee secara rasmi didaftarkan masuk ke Pusat Tahanan Seoul Nambu di barat ibu negara, sebuah kemudahan yang agak baharu dibuka pada 2011 dan antara yang sedikit dikendalikan oleh warden wanita.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters, beliau akan dilayan sama seperti banduan lain, namun akan menerima sedikit penyesuaian dalam rutin harian memandangkan statusnya sebagai tokoh berprofil tinggi.

Sumber mendakwa, sel berasingan itu mempunyai sebuah meja kecil yang boleh digunakan sebagai meja tulis dan tempat makan dan tilam untuk tidur.

Beliau akan mempunyai akses berasingan ke bilik mandi bersama dan dibenarkan bersenam di luar selama satu jam setiap hari kecuali pada Ahad, dengan masa yang dijadualkan supaya tidak bertembung banduan lain.

Keon Hee dipenjarakan selepas mahkamah meluluskan waran tangkap terhadapnya semalam, atas alasan beliau mungkin memusnahkan bukti ketika siasatan berhubung dakwaan rasuah, penipuan saham dan salah guna kuasa masih berjalan.

Peguamnya menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan laporan media mengenai beberapa hadiah yang didakwa diterimanya sebagai balasan untuk layanan istimewa itu hanya spekulasi tidak berasas.

Keon Hee memohon maaf kerana menimbulkan kebimbangan di negara itu dan menggelarkan dirinya ‘bukan siapa-siapa’ ketika hadir untuk disoal siasat minggu lalu.

Penjara akan menjadi pengalaman baharu bagi Keon Hee, tidak seperti suaminya yang sudah menghabiskan kira-kira 100 hari di pusat tahanan itu.

Suk Yeol dibicarakan berhubung cubaan gagal beliau mengenakan undang-undang tentera, atas pertuduhan melakukan pemberontakan.

Beliau dipenjarakan di Pusat Tahanan Seoul, yang sebenarnya terletak di bahagian selatan di luar ibu negara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN