GUA MUSANG: Di balik timbunan sampah busuk dan lalat berkerumun, tersembunyi kisah perjuangan seorang bapa yang tidak pernah memilih jalan mudah untuk mencari rezeki demi keluarganya.
Bagi Wan Azli Wan Abdullah, 37, walaupun sudah bekerja sebagai pengawal keselamatan, dia memilih berbuat demikian sebagai sumber pendapatan tambahan kerana mahu anak-anaknya dapat ke sekolah seperti kanak-kanak lain.
“Saya tahu bau busuk ini tidak semua orang boleh tahan. Saya sanggup asalkan anak-anak saya cukup makan dan dapat ke sekolah. Saya melakukan pekerjaan mengutip barangan terpakai bermula pukul 8 pagi hingga menjelang waktu tengah hari sebanyak empat kali seminggu.
“Di tempat pembuangan sampah ini banyak barangan yang saya boleh jual dan mendatangkan duit seperti tembaga, tin, botol plastik dan barang-barang terpakai lain,” katanya ketika ditemui di tapak pelupusan sementara Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di Kampung Kundur di sini, semalam.
Wan Azli berkata, dia tidak mempedulikan rasa malu mengutip sampah dan barang terpakai demi menyara isteri serta membesarkan tiga anak berusia antara empat tahun hingga 10 tahun.
Katanya, terdapat kira-kira hampir 20 orang menjadikan pekerjaan pencari sampah sebagai sumber pendapatan mereka.
“Saya mencari barangan terpakai sebelum mengasingkan serta menimbang beratnya untuk diisi ke dalam guni. Sayamengumpul barangan dari tapak pelupusan itu selama seminggu sebelum dijual bergantung kepada harga pasaran dan jenis barangan kitar semula yang dijumpai.
“Saya sudah biasa melakukan pekerjaan ini sejak dua tahun lepas dan sudah lali dengan bau busuk sampah. Barang-barang terpakai yang boleh dijual saya angkut menggunakan kereta untuk dijual kepada pemborong barangan terpakai,” katanya.
Sementara itu, bapa mentua Wan Azli, Hassan Sudin, 58, berkata, dia juga menjadikan mencari sampah sebagai pekerjaan sampingan untuk menyara ahli keluarganya.
Katanya, dia ke tempat pelupusan sampah itu bersama menantunya untuk mencari barangan terpakai.
“Bagi tembaga, harganya RM25 bagi setiap satu kilogram, tin minuman ringan RM3 sekilogram, dan botol plastik 40 sen sekilogram. Kami sudah mempunyai pemborong tetap dan setelah segala barangan dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam guni, kami terus menjualnya,” katanya.-UTUSAN.










