KUALA SELANGOR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendakwa banyak kes kematian dan kemalangan melibatkan pekerja asing tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Pengarahnya, Mohd. Hatta Zakaria berkata, pihaknya menerima sebanyak 549 aduan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja sehingga Jun lalu.
“Pada bulan ini, kita melihat banyak kematian pekerja asing termasuk kes jatuh dan kemalangan lain.
“Semua kes kemalangan di tempat kerja wajib dilaporkan kepada JKKP bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya pada Karnival Kerja Selamat dan Sihat Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), hari ini.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendakwa majikan atau pihak terlibat jika berlaku pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.
“Ada kes kematian yang disorok dan tidak dilaporkan, namun JKKP akan turun menyiasat jika menerima aduan. Aduan menerusi telefon dan media sosial itu akan disiasat dalam tempoh tiga hari mengikut piagam perkhidmatan,” ujarnya.
Tambah Mohd. Hatta, tindakan tegas akan diambil bagi memastikan majikan mematuhi peraturan keselamatan di tempat kerja dan mengelak tragedi berulang.
“Jika siasatan mendapati aduan itu berasas, kita akan mengambil tindakan pendakwaan mengikut Seksyen 19 (AKKP) 1994. Kewajiban majikan pula telah diperuntukkan mengikut Seksyen 15 (AKKP 1994),” jelasnya.
Katanya lagi, kehilangan pendengaran akibat pendedahan bunyi bising berlebihan kekal sebagai penyakit pekerjaan tertinggi dilaporkan di negara ini setakat Jun lalu.
“Masalah itu menyumbang sebahagian besar daripada 4,510 kes penyakit dan keracunan pekerjaan daripada keseluruhan 5,712 kes yang diterima serta disiasat.
“Selain kehilangan pendengaran, penyakit lain yang direkodkan ialah dermatitis kulit dan keracunan akibat pendedahan bahan kimia di tempat kerja,” katanya.
Ditanya perkembangan insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights, kata Mohd. Hatta berkata, tiada tindakan pendakwaan dibuat setakat ini.
“JKKP telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan itu mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.
“Hasil siasatan juga telah dibentangkan kepada Unit Bencana Negeri sebelum 30 Jun lalu dengan penglibatan agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” ujarnya. – UTUSAN









