ATV tarikan terbaharu pelancong di Hilir Perak

ATV tarikan terbaharu pelancong di Hilir Perak

PENGUNJUNG menunggang ATV di sekitar kawasan sawah di Sungai Manik, Pasir Salak. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Manik Kiri di sini memperkenalkan sewaan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) kepada pelancong bertujuan meningkatkan industri ekopelancongan kawasan ini yang terkenal dengan penanaman padi.

Ketua Kampung Sungai Manik Kiri, Shuhaimi Suib, 40, berkata, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hilir Perak dan Tourism Perak banyak membantu dalam aspek menyediakan infrastruktur lengkap seperti kemudahan awam iaitu jalan, tempat meletak kenderaan, utiliti dan promosi sewaan ATV.

“MPTI dan PDT Hilir Perak sentiasa melawat kampung kami bagi memastikan ATV terjaga rapi dan kemudahan yang disediakan pada tahap terbaik.

“Bagi Tourism Perak pula, mereka bercadang mempromosikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di negeri ini. ATV diharap dapat menarik ramai pelancong untuk merasai pengalaman pengembaraan menarik di kawasan kampung, sawah dan kebun kelapa sawit.

“Ini sekali gus diharap dapat meningkatkan ekonomi penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di sini.

Ekonomi pelancongan yang diperkenalkan di kampung itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Daerah Hilir Perak iaitu Keterjaminan Makanan dan Pertanian Berteknologi Tinggi serta pelancongan.

Ia juga menepati flagship kesepuluh Perak Sejahtera 2030 iaitu Ekonomi Pengalaman hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.

Menurut Shuhaimi, sewaan ATV itu merupakan pelengkap bagi pelancong tempatan dan antarabangsa yang menetap di sekitar inap desa terutama di Sungai Manik.

“Idea ini hasil muafakat penduduk kampung kerana di sekeliling kami terdapat banyak homestay tetapi tiada perkhidmatan ATV yang membolehkan pelanggan untuk bersiar-siar di sekeliling kawasan sawah padi dan kebun kelapa sawit.

“Sewaan ini setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran RM15 sahaja seorang dengan radius kawasan sekitar dua kilometer,” katanya.

Katanya lagi, pendapatan sewaan ATV itu agak baik yang bukan sahaja memperkukuh industri pelancongan luar bandar malah menyumbang secara langsung kepada ekonomi komuniti tempatan khususnya ahli-ahli JPKK.

“Kami masih mengekalkan keluasan kawasan sawah sebagai sekuriti makanan yang utama negara selain pelancong dapat memahami dan mempelajari penanaman padi dengan lebih terperinci.

“Selain itu, agak ramai juga pesawah dan pekebun sawit yang menggunakan ATV sebagai kenderaan utama untuk mengusahakan tanaman mereka kerana ia lasak, tahan lama dan boleh dikawal dengan mudah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN