ATM jadi pemudah cara mesyuarat GBC Thailand-Kemboja

ATM jadi pemudah cara mesyuarat GBC Thailand-Kemboja

ANWAR Ibrahim bersama Hun Manet dan Phumtham Wechayachai selepas sidang akhbar bagi mengumumkan persetujuan untuk berdamai dan gencatan senjata antara kedua-dua negara di Putrajaya baru-baru ini. -GAMBAR/PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bertindak sebagai pemudah cara bagi Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dan Kemboja yang dijadualkan berlangsung di ibu negara bermula 4 hingga 7 Ogos ini.

Menurut kenyataan Markas ATM Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, mesyuarat itu bertujuan menyelesaikan isu pertikaian sempadan antara kedua-dua negara, susulan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada 28 Julai lalu.

Katanya, pemilihan Malaysia sebagai lokasi mesyuarat adalah hasil persetujuan bersama antara Thailand dan Kemboja yang melihat negara ini sebagai lokasi berkecuali bagi mengadakan rundingan tersebut.

“Malaysia adalah lokasi berkecuali yang dipersetujui secara bersama oleh Thailand dan Kemboja untuk Mesyuarat GBC kali ini. 

“Antara agenda mesyuarat GBC kali ini adalah membincangkan Terma Rujukan (ToR) bagi penempatan Atase Pertahanan sebagai pasukan interim serta penempatan Kumpulan Pemantau ASEAN di kawasan terlibat,” jelasnya.

Gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada tengah malam 28 Julai lalu telah dicapai hasil mesyuarat khas yang berlangsung di Malaysia susulan peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya itu turut menyaksikan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bersetuju melaksanakan perjanjian gencatan senjata selepas beberapa minggu berlaku ketegangan antara kedua-dua negara.

Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditandai secara rasmi itu telah lama menjadi isu sensitif antara Thailand-Kemboja dan sering mencetuskan ketegangan yang menggugat hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Krisis memuncak pada 28 Mei lalu apabila tercetus pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN