BACHOK: Seorang remaja Orang Asli dari Pos Balar, Gua Musang dekat sini menjadi individu pertama daripada masyarakat berkenaan bergelar hafiz selepas berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh empat tahun.
Menariknya, Muhammad Izudin Hasmadi, 16, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok di sini itu merupakan pelajar dibawah program Ulul Albab.
Bercerita lebih lanjut, Muhammad Izudin berkata, cintanya kepada kitab suci itu mula berputik ketika berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar selepas menyertai majlis tilawah al-Quran.
“Bertitik tolak dari situ, perasaan saya kepada al-Quran makin menebal. Hasil bimbingan guru di SK Balar, saya berjaya membaca Al-Quran dengan baik sekali gus membantu memudahkan tugas saya untuk menguasai kitab suci itu.
“Cabaran yang ada hadapi sepanjang menghafaz al-Quran ialah untuk ingat dan bagi ayat-ayat itu melekat dalam dada. Untuk itu saya mengurangkan pengambilan makanan segera dan masam bagi memudahkan urusan menghafaz,” katanya kepada pemberita pada Majlis Khatam Hafazan al-Quran Perdana SMK Agama Tok Bachok di sini pada Khamis.
Muhammad Izzuddin memberitahu, kejayaan itu turut didorong sokongan padu dari ayah dan ibunya iaitu Hasmadi Ghazali, 47, Norsiah Along, 49, dan guru-guru serta rakan-rakan.
Katanya, bercita-cita menjadi seorang jurutera yang menguasai al-Quran seterusnya berbakti kepada masyarakat Orang Asli di Pos Balar satu hari nanti.
Sementara itu, Hasmadi yang merupakan guru pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelana, Selangor meluahkan rasa syukur dengan kejayaan Muhammad Izzuddin itu.
Katanya, Muhammad Izzudin merupakan anak pertamanya yang bergelar hafiz al-Quran.
“Harapan kami agar dia dapat meneruskan usaha ini dan menjadi contoh serta pembakar semangat kepada anak Orang Asli yang lain,” katanya yang mempunyai anak berusia 36 hingga 11 tahun,” ujarnya.-UTUSAN