GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini mendakwa, kejadian empat lubang benam di Jalan Gua Musang-Lojing di sini sejak hujung tahun lalu disebabkan aktiviti kebun sayur di kawasan berhampiran.
Mohd. Safie Bahkakok, 29, berkata, cuaca hujan menyebabkan hakisan tanah dan berlaku kejadian lubang benam berhampiran kampung yang dihuni hampir 400 orang asli.
Katanya, Orang Asli di Kampung Jekjok dan kampung sekitar kini bimbang kejadian lubang benam berulang sehingga boleh meragut nyawa penduduk yang menggunakan jalan berkenaan.
“Kami percaya hakisan tanah ini adalah kesan pembukaan kawasan hutan untuk tujuan pertanian kebun sayur berhampiran jalan utama Gua Musang-Lojing.
“Kami tengok rekahan lubang itu berlaku sedikit demi sedikit dan selepas beberapa hari runtuhan semakin besar. Kejadian berlaku sebab faktor hujan apabila air turun dari kebun dan mengalir di bawah tanah,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Merina Ramlan, 42, pula berkata, sejak pembukaan kebun sayur berhampiran penempatan penduduk beberapa tahun lalu, kejadian hakisan tanah serta banjir lumpur kerap berlaku terutama pada musim hujan.
Katanya, kejadian lubang benam di laluan utama penduduk itu juga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang berulang-alik ke Cameron Highlands dan Ipoh, Perak.
“Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tanggungjawab termasuk tidak melaksanakan atau mengurangkan aktiviti kebun ketika cuaca hujan bagi mengelak banyak lagi lubang benam,” katanya.
Terdahulu, laluan di Kilometer (KM) 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke ditutup satu lorong berikutan kejadian lubang benam baharu.
Kejadian itu dikesan pada 7 Ogos lalu sebelum menjadi semakin teruk ekoran hujan. Pada 23 November 2024, lubang benam sedalam enam meter berlaku di KM 78 jalan sama menyebabkan laluan dari arah Lojing ditutup satu lorong.
Pada 12 Disember, lubang benam kedua berkedalaman 9m berlaku pada jarak lima meter dari lubang benam pertama disusuli satu lagi lubang benam di lokasi sama pada 15 Mac lalu.-UTUSAN.










