8,500 banduan disasar sertai sektor pekerjaan tahun ini

8,500 banduan disasar sertai sektor pekerjaan tahun ini

AHMAD Faudzi Awang memberikan taklimat kepada lima orang banduan pada Majlis Penyerahan Orang Bebas Berlesen (OBB) Kepada Majikan Pertama di Payo Campsite Johol, Kuala Pilah.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Jabatan Penjara menyasarkan seramai 8,500 orang banduan akan ditempatkan dalam bidang pekerjaan menerusi Program Corporate Smart Internship (CSI) menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Awang berkata, setakat ini 8,100 banduan sudah ditempatkan di luar penjara menerusi pelbagai program sektor pekerjaan.

“Setakat ini, kami ada lebih 700 majikan berdaftar yang menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan. Selain itu, terdapat juga banduan yang dilepaskan menerusi kaedah parol atau Orang Bebas Berlesen (OBB) dan tinggal bersama keluarga.

“Jadi, setakat ini jumlah keseluruhan kami ada lebih 8,100 banduan yang sedang menjalani hukumannya dalam kelompok masyarakat.

“Dengan berbaki empat bulan, sasaran 8,500 diyakini dapat dicapai,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Orang Bebas Berlesen (OBB) Kepada Majikan Pertama di Payo Campsite Johol, di sini semalam.

Ahmad Faudzi berkata, banduan yang ditempatkan mengikut keperluan sama ada bersama keluarga, syarikat swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan penempatan khas, sekali gus membantu memperkukuh usaha pemulihan dalam komuniti.

Tambahnya, di Negeri Sembilan mempunyai hampir 50 syarikat daripada pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, perkilangan, pertanian, pembuatan dan perladangan yang terlibat dalam memberi peluang pekerjaan kepada banduan.

Dalam pada itu, Ahmad Fauzi berkata Jabatan Penjara turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat SD Guthrie, untuk sektor perladangan yang memberi manfaat kepada lebih  800 banduan di seluruh negara.

“Seramai 100 banduan akan ditempatkan di ladang SD Guthrie di Port Dickson dan Jempol, manakala secara keseluruhannya, syarikat tersebut bersetuju mengambil 900 banduan untuk ditempatkan di ladangnya di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, salah seorang banduan OBB, Pak Hassan, 55, berkata program penempatan pekerjaan seperti sinar baharu buatnya yang kini hidup sebatang kara.

Katanya, dia nekad untuk memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan tiga bulan lagi.

“Bagi saya pengalaman dalam penjara banyak mengubah diri, terutama dari segi disiplin dan kesabaran yang membimbing saya untuk berubah menjadi lebih baik. Menerusi peluang pekerjaan ini pula yang menjadi laluan buat saya meneruskan kehidupan selepas keluar penjara yang berbaki tiga bulan sahaja lagi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×