400 penunggang Borneo turut serta RXZ Members 7.0

400 penunggang Borneo turut serta RXZ Members 7.0

PEMILIK dan peminat motosikal Yamaha RXZ berkumpul pada Program RXZ Members 7.0 2025 di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Demi minat, hampir 400 penunggang Yamaha RXZ dari Sabah dan Sarawak sanggup berkorban dengan berbelanja hampir RM1.4 juta semata-mata untuk hadir ke perhimpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, di sini.

Difahamkan, kos yang ditanggung setiap peserta antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang merangkumi tiket pener­bangan, minyak, penginapan ser­ta penghantaran motosikal sekali gus menjadikan jumlah perbelanjaan mereka sesuatu yang luar biasa.

Lebih mengagumkan, majori­ti mereka bukanlah anak orang berada sebaliknya pekerja biasa termasuk buruh, pekerja kilang, peniaga kecil dan penjawat awam yang menabung sedikit demi sedikit setiap bulan untuk hadir ke acara tahunan itu.

Antara yang hadir ialah Zulfadli Musri, 39, dari Bongawan, Sabah yang menjadi perintis peserta dari Borneo pada 2023 dengan hanya kurang 10 orang ketika itu.

“Hari ini dalam 400 penunggang dari Sabah dan Sarawak berhimpun di Kuala Terengganu, itu tanda cinta kami pada RXZ bukan main-main,” kata­nya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, perjalanan dari Borneo ke Terengganu memerlukan perancangan rapi serta kos besar yang dikongsi sesama rakan konvoi.

Semangat yang sama dikongsi Abd. Manaf Haffizee Abd. Mues, 34, dari Lahad Datu yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke himpunan terbesar RXZ Members.

Menurutnya, motosikal dihantar lebih awal menggunakan kapal laut dari pelabuhan Borneo ke Pelabuhan Klang yang mengambil masa sekitar 10 hari sebelum mereka menyambung konvoi darat.

“Melalui laut sahaja sudah 1,400 kilometer dan selebihnya perjalanan darat dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu kami sambung dalam 400 kilometer. Walaupun penat dan memerlukan kos tinggi, semua itu lenyap apabila melihat puluhan ribu motor Yamaha RXZ berkumpul di tempat yang sama,” ujarnya.

Sementara itu, peserta dari Sarawak, Ismawandi Kipli, 47, berkata, penantian untuk menyertai RXZ Members akhirnya menjadi kenyataan selepas beberapa kali tertangguh.

“Lebuh raya di sini suasana­nya berbeza. Apabila sampai sini, te­ngok ribuan motosikal berkonvoi, rasa betul-betul luar biasa.

“Kalau fikir kos memang berat, tetapi hobi ini bukan soal duit. Ia soal kepuasan, soal persaudaraan sesama peminat RXZ,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×