KLANG: Pas mendakwa terdapat wakil UMNO bertemu dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN) secara ‘senyap-senyap’ untuk terlibat dengan gerakan rentas parti yang digerakkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau mengesahkan kewujudan itu dan bersikap terbuka terhadap mana-mana pemimpin dalam UMNO yang ingin bersama atau menyokong Perikatan Nasional (PN).
“Senyap-senyap adalah, ada kawan-kawan, yalah…masing-masing pun jumpa. Bagi kita, terbuka kalau ada rakan-rakan daripada UMNO yang ingin bersama, saya fikir itu untuk masa depan negara.
“Mungkin kalau kita rasa duduk tempat yang tak betul, kita kena betulkan tempat duduk. Kalau duduk di kapal yang tenggelam baik pindah ke kapal baharu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Selangor, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tiada halangan untuk menyertai penubuhan barisan rentas parti dalam blok pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Sokongan itu diberikan oleh Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas Muhyiddin dilapor mengatur pertemuan dengan ketua-ketua parti dari blok bukan kerajaan termasuk Parti Muda bagi mewujudkan kerjasama tersebut.
Tuan Ibrahim berkata, beliau bagaimanapun mengesahkan tiada wakil Pas hadir dalam pertemuan tersebut yang berlangsung kelmarin, namun menegaskan tiada pertikaian timbul berhubung perkara itu.
“Pertemuan itu saya kira positif, bagi Pas (tidak hadir) tak ada (masalah) sebab isunya pertemuan itu untuk membincang dan menyelaraskan isu-isu yang dipilih (dihadapi) rakyat.
“Pendekatan kita supaya kita ada strategi yang sama. Jadi, Muhyiddin pun maklum perbincangan itu akan dibawa ke Majlis Presiden (dalam PN) untuk diperhalusi, saya rasa ini permulaan yang baik,” jelasnya. – UTUSAN










