KUALA KRAI: Pihak berkuasa agama sudah menarik naik balik tauliah mengajar yang diberikan kepada seorang penceramah bebas yang sedang disiasat berkaitan kes menyebar video ‘aib’ isterinya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, berpandukan kepada maklumat yang diterima penceramah itu pernah diberikan tauliah dan kemudian telah ditarik balik.
“Itu yang saya dimaklumkan. Selebihnya, kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara adil.
“Hal ini supaya tiada mana-mana pihak yang mungkin teraniaya apabila kita buat keputusan atau penilaian,” katanya kepada pemberita semua program Wacana Dakwah Al-Falah Memacu Ummah Madani Bersama Institusi Pondok di Pondok Sungai Durian, di sini hari ini.
Mohd. Na’im memberitahu, golongan agamawan sepatutnya menggunakan ilmu untuk mendidik dan membawa masyarakat ke jalan benar daripada kebatilan kepada hak.
“Golongan agamawan tidak sepatutnya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Hal ini kerana umat Islam memandang tinggi terhadap golongan agamawan.
“Janganlah kerana dua tiga individu imej golongan agamawan ini tercemar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im menyarankan masyarakat supaya menyemak latar belakang penceramah dan memastikan mereka mempunyai tauliah sebelum memanggil agamawan itu menyampaikan kuliah.
Media semalam melaporkan, polis menyiasat seorang penceramah bebas berhubung kes penyebaran video seks isteri-isterinya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita yang merupakan isteri kedua suspek lelaki tersebut, pukul 12 tengah hari, 16 Jun lalu.
Katanya, pengadu mendakwa penceramah itu menyebarkan video seks dirinya dan madu-madu lain serta beberapa wanita lain.-UTUSAN