KOTA BHARU: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok elektronik atau vape bernilai RM8.8 juta selepas menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki di Kampung Gelang Mas, di sini semalam.
Tangkapan dan rampasan itu dilakukan pada pukul 2 petang menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori itu telah menjumpai 57,780 unit peranti rokok elektronik pelbagai perisa.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vape tersebut tidak mematuhi standard Malaysia di bawah perintah Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) dimana perlu memiliki sijil dan penandaan MS SIRIM sebelum dibenarkan penjualan.
“Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 4(2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) 2022 Akta Perihal Dagangan 2011.-UTUSAN