KANGAR: Srikandi PKR menyeru rakyat, khususnya anak muda dan wanita untuk menolak politik kebencian dan memilih jalan kemajuan yang lebih bertanggungjawab dan berwibawa.
Dalam masa sama, Ketua Srikandi PKR, Nurhidayah Che Rose turut mengecam Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyatakan sokongan dan menyeru orang ramai ke perhimpunan pada Sabtu ini, namun dalam masa menyatakan kehadirannya bergantung kepada kelapangan.
Kata Nurhidayah, ia adalah sikap pengecut dan tidak berprinsip iaitu mempergunakan rakyat untuk kepentingan politik sedangkan beliau sendiri masih belum pasti tampil bersama mereka di dalam perhimpunan berkenaan.
“Malah, lebih mengecewakan lagi, Sanusi juga dilihat memilih untuk mempolitikkan inisiatif kerajaan Persekutuan yang jelas bertujuan membantu rakyat,” katanya di sini hari ini.
Sebelum itu, ketika ditanya media sama ada akan hadir pada himpunan tersebut, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, beliau belum pasti namun bergantung kepada kelapangan sekiranya tidak terikat dengan sebarang program pada hari tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan turun enam sen untuk rakyat kepada RM1.99 seliter sebelum akhir September ini.
Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas pula akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program SARA sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.
Perdana Menteri turut mengumumkan kadar tol di 10 lebuh raya akan kekal dan kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta bagi membolehkan rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Beliau turut mengisytiharkan 15 September depan sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Sementara itu, Nurhidayah berkata, kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan negeri Kedah, meskipun ditadbir pembangkang dengan pelbagai peruntukan pembangunan telah disalurkan.
“Terimalah kenyataan bahawa kerajaan Perpaduan komited untuk membela nasib rakyat secara inklusif tanpa mengira negeri atau fahaman politik. Fokus kerajaan kini adalah menjamin kestabilan, pemulihan ekonomi, dan kesejahteraan rakyat bukan bermain retorik jalanan,” katanya.-UTUSAN