GUA MUSANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 25 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan selama dua hari menerusi Op Sapu di sekitar kawasan tanah tinggi Lojing, di sini.
Serbuan bermula pukul 5 petang itu melibatkan seramai 28 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan.
Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, daripada jumlah itu 20 daripadanya adalah PATI dari Myanmar termasuk enam wanita.
“Sebelihnya adalah warganegara Bangladesh (4) dan Nepal (1). Kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, kesemua PATI yang ditahan itu selepas JIM Kelantan melakukan pemeriksaan ke atas 36 orang warga asing di sekitar kawasan tanah tinggi Lojing.
Katanya, menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI,” ujarnya.
300725-Klt-SerbuPati Lojing-Done Online
SEBAHAGIAN PATI yang ditahan JIM Kelantan menerusi Op Sapu di tanah tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.-IHSAN JIM KELANTAN.
-habis-