AMPANG: Selangor optimis untuk mencapai sasaran kemasukan 8 juta pelancong ke negeri ini sehingga akhir tahun sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, suku pertama tahun ini menunjukkan Selangor menerima kemasukan hampir 2 juta pelancong domestik dan luar negara.
“Progres bagi program Tahun Melawat Selangor 2025, laporan daripada suku pertama tahun ini mendapati seramai 1.77 juta pelancong datang ke negeri ini. Ia, tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Ia dijangka meningkat sehingga akhir tahun ini yang disumbang oleh musim cuti seperti cuti sekolah, festival atau perayaan. Tempoh kemuncak kemasukan pelancong adalah pada cuti sekolah dan hujung tahun,” katanya pada program Surprising Selangor, Media & Influencer, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Selangor jangkakan lonjakan besar kemasukan pelancong sempena tahun melawat negeri itu pada tahun hadapan.
Yee Ling berkata, Tourism Selangor sedang menjalankan promosi pelancongan di negeri ini secara berterusan termasuk menganjurkan Selangor Travel Fair 2025 pada minggu hadapan di Kuala Lumpur.
“Selain itu, kita juga akan ke Ho Chi Minh, Vietnam dan Matta Fair di Johor Bahru, Johor bagi menarik kemasukan lebih ramai pelancong terutama dari Vietnam dan Singapura.
“Ketika ini, dalam suku ketiga, kita fokus kepada pelancong domestik menjelang musim cuti sekolah pada bulan September nanti. Jadi, pelbagai pakej pelancongan menarik dan tawaran tiket kemasukan ke taman tema pada harga berpatutan,” ujarnya. – UTUSAN










