Rayuan lepas, bebas Isa Samad 29 Oktober

Rayuan lepas, bebas Isa Samad 29 Oktober

MOHD. ISA ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan yang melepaskan dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad daripada sembilan tuduhan rasuah membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak akan didengar pada 29 Oktober ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi media selepas tamat pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof.

Perkara itu turut disahkan peguam, Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd. Isa.

Pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada 7 Mac tahun lalu manakala petisyen rayuan difailkan pada 26 Jun lalu.

Mereka menyenaraikan 24 alasan mengapa sabitan dan hukuman terhadap Mohd. Isa perlu dikembalikan.

Pada 2012, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Mohd. Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta. Hukuman penjara itu boleh ditambah lagi 18 tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) dan Datuk S. M. Komathy Suppiah telah melepas dan membebaskan Mohd. Isa selepas membenarkan rayuannya.

Panel terbabit memutuskan demikian selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila menerima keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang ketika itu pegawai khas politik Mohd. Isa.

“Tiada bukti kredibel lain yang menunjukkan bahawa ‘kirim salam’ yang dinyatakan oleh perayu (Mohd. Isa) membawa maksud meminta suapan,” kata Hakim Vazeer ketika membaca penghakiman ringkas panel itu.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa pada 2018 dengan sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada harga RM160 juta.

Pertuduhan berkenaan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN