PASIR MAS: Sepasang suami isteri serta tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda bernilai RM5.04 juta di Pasir Mas dan Tumpat baru-baru ini akan didakwa esok.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, sesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 39 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Sesyen di sini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, taktik licik sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah kedai makan menyembunyikan dadah jenis pil kuda seberat 19.86 kg di dalam timbunan najis lembu di sebuah kandang di Kampung Bukit Tunku, di sini, terbongkar dalam enam siri serbuan, minggu lalu.
Dadah itu dirampas selepas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan seorang lelaki berusia 34 tahun semasa memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia di Jalan Gajah Mati Banggol Chicha pada 27 Jun lalu.-UTUSAN