Raja Muda Perlis berkenan adakan lawatan ke pejabat UNON - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis berkenan adakan lawatan ke pejabat UNON

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat UNON di Kompleks PBB, Nairobi, baru-baru ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Nairobi (UNON) di Kompleks Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nairobi.

Keberangkatan baginda semasa sesi kunjungan Safar Ilmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu turut diiringi Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Semasa lawatan itu, Tuanku Sued Faizuddin turut berkenan mendengar taklimat terperinci mengenai kerja-kerja renovasi serta perancangan pembangunan tambahan kampus UNON yang sedang giat dilaksanakan.

Penambahbaikan ini termasuk usaha memperkukuhkan fasiliti persidangan, ruang pejabat dan infrastruktur digital bagi menyokong lebih 20 agensi serta program PBB yang beroperasi dari Nairobi.

Di samping itu, pihak UNON turut berkesempatan berkongsi tentang dua agensi utama yang mempunyai ribuan pejabat di Nairobi iaitu UN Environment Programme (UNEP) dan UN-Habitat.

UNEP adalah bertanggungjawab membentuk dasar alam sekitar global sejak tahun 1972 manakala UN-Habitat pula memberi tumpuan kepada isu pembangunan bandar mampan, perancangan bandar dan penempatan manusia.

Kedua-dua agensi ini memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan lestari sejagat, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang didukung oleh komuniti antarabangsa.

Menerusi perbincangan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan berkongsi pengalaman MAIPs dalam menjalin kerjasama strategik bersama Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) khususnya dalam pelaksanaan misi bantuan dan kebajikan berasaskan nilai Islam yang inklusif.

Sementara itu, Ketua Pengarah UNON, Zainab Hawa Bangura memaklumkan PBB melalui Pejabat UNON akan terus menunjukkan komitmen teguh terhadap kelestarian pembangunan mampan, kebajikan sejagat dan pemerkasaan jaringan kerjasama antara agensi-agensi antarabangsa di rantau Afrika.

Dalam masa sama, Zainab turut menyentuh peranan Malaysia sebagai antara negara anggota yang aktif dalam komuniti antarabangsa PBB melalui pelbagai inisiatif kerajaan melibatkan bidang pembangunan lestari, pengurusan pelarian, bantuan kemanusiaan dan pendidikan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN