KANGAR: Polis menahan tiga lelaki warga China disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Kuala Perlis, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek berusia 38 hingga 54 tahun itu ditahan orang awam sekitar pukul 10.10 malam selepas melihat kumpulan lelaki warga asing itu dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah di Taman Bukit Kubu Fasa 2, Kuala Perlis.
Beliau berkata, suspek terlibat dipercayai telah memecah masuk rumah bapa saudara mangsa yang merupakan seorang lelaki warga Thailand.
“Siasatan awal mendapati pintu belakang rumah berkenaan telah diumpil manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan terdapat lelaki memecah masuk kediaman terbabit.
“Suspek kemudian didapati melarikan barang kemas bernilai RM1,200, wang tunai kira-kira RM2,500 dalam peti besi dan wang tunai RM357 dalam laci almari,” katanya.
Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, suspek yang ditahan itu kemudian diserahkan ke Balai Polis Kuala Perlis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes itu.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati suspek memiliki barangan milik mangsa termasuk wang tunai dan barang kemas malah siasatan juga mengesan pihak berkenaan baharu seminggu memasuki negara ini atas tujuan mencari pekerjaan.
“Mereka juga sudah ditawarkan bekerja sebagai tukang masak namun masih belum sempat berurusan dengan mana-mana majikan lagi di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, jumlah keseluruhan kerugian mangsa dianggarkan sekitar RM4,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman ke atas ketiga-tiga suspek dibenarkan oleh Majistret Nor Shahida Abdul Rahim selama enam hari bermula hari ini hingga 24 Julai hadapan.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.-UTUSAN