SHAH ALAM: Polis Selangor tidak akan bertindak sendirian sebaliknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di negeri ini terjamin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, beliau mengakui cabaran mengetuai kontinjen penguat kuasa itu di negeri ini yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi selain kadar jenayahnya yang memerlukan tindakan berkesan.
“Itu saya akan berhubung dengan kerajaan negeri. Jadi, kita akan bekerjasama, tak boleh bekerja secara stand alone (bersendirian). Jadi, saya yakin kerajaan negeri akan bersama dengan polis.
“Jadi, sama-sama (polis dan kerajaan negeri) memastikan kesejahteraan serta keselamatan rakyat Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini menyatakan Kajang, Gombak dan Klang dikenal pasti sebagai tiga daerah tertinggi mencatatkan kes jenayah dalam kalangan 16 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor.
Menurutnya, dalam kalangan kesemua daerah itu, Kajang merekodkan kadar jenayah tertinggi.
Shazeli kemudian menambah, pada peringkat awal pelantikannya sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu, beliau mahu memberi tumpuan meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu.
“Itu akan menjadi fokus utama saya. Insya-Allah kita akan bekerjasama ke arah itu. Sebab persepsi positif ada pelbagai isu yang perlu diuruskan, itu kita akan bertindak secara pecahannya (mengikut jabatan-jabatan).
“Sepanjang perkhidmatan, ini adalah yang pertama bertugas di Selangor. Saya akan bersama-sama pasukan untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di Selangor,” ujarnya.
Terdahulu, Shazeli menerima nota serah terima tugas sebagai Ketua Polis Selangor menggantikan Datuk Hussein Omar Khan yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman yang berkuat kuasa pada Isnin minggu lalu.
Beliau menerima nota tersebut daripada Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd. Zaini Abu Hassan yang memangku jawatan tersebut selama 12 hari dan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Gilbert Philip Layang.
Shazeli berpengalaman 25 tahun dalam perkhidmatan memulakan kerjayanya sebagai pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak sebelum dilantik ke pelbagai jawatan strategik di Bukit Aman.
Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan-jawatan dalam Cawangan Khas termasuk melibatkan ekstremis sosial dan pelampau agama sebelum diberi tanggungjawab mengetuai Cawangan Khas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. – UTUSAN










