KANGAR: Penolong pegawai seni bina dan pesara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM70,000 bagi meluluskan permit ubah suai rumah.
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 1.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri.
Menurut sumber, suspek wanita dan lelaki masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 60-an itu dipercayai bersubahat menerima wang suapan daripada pemohon-pemohon sebagai balasan memudahkan urusan kelulusan permit ubah suai rumah di sekitar negeri ini.
Kata sumber itu, perbuatan tersebut disyaki berlaku dalam tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024.
“Suspek lelaki yang merupakan pesara itu didakwa menerima bayaran antara RM300 hingga RM9,000 secara berperingkat daripada beberapa pemohon.
“Wang rasuah itu juga dikatakan dimasukkan terus ke dalam akaun bank peribadi suspek lelaki berkenaan. Kira-kira 200 transaksi dibuat melalui akaun itu dengan nilai keseluruhan bagi tempoh itu dianggar sebanyak RM70,000,” katanya.
Sementara itu, dua suspek berkenaan direman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung kes tersebut dijalankan.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd. Nor Adha Ab. Gani ketika dihubungi turut mengesahkan mengenai tangkapan itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.-UTUSAN