Pertemuan gay: penganjur hantar surat, sedia jumpa TMB Kelantan

Pertemuan gay: Penganjur hantar surat, sedia jumpa TMB Kelantan

ANTARA individu yang menyertai pertemuan tertutup komuniti gay yang berlansung sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini-IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (Sahabat) sudah menghantar surat kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan untuk mengadakan pertemuan berhubung penganjuran program pencegahan HIV sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Sahabat berkata, pertemuan itu bertujuan menjernihkan segala kekeliruan yang timbul berhubung penganjuran program tersebut telah dijadualkan.

Menurutnya, Sahabat amat menghargai keterbukaan Timbalan Menteri dan pihak Kerajaan Negeri untuk mendengar penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Selain kerajaan negeri, Sahabat yang menjalinkan kerjasama dengan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan Majlis AIDS Malaysia (MAC) sedia mengadakan pertemuan dengan polis.

“Pertemuan ini penting dalam membina hubungan persefahaman yang kukuh demi kesejahteraan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan bersedia untuk berjumpa dengan penganjur pertemuan gay serta pihak polis bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung program tersebut yang telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pertemuan itu penting supaya tidak berlaku salah faham dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sebelum itu, polis mengesahkan tiada penglibatan atau penganjuran daripada mana-mana badan rasmi seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), klinik kesihatan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pertemuan tertutup komuniti gay yang berlangsung sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa baru-baru ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN