PORT DICKSON: Perdana Menteri berkata, semangat perpaduan antara parti gabungan dan komitmen masing-masing untuk membangunkan negara telah membantu Kerajaaan Perpaduan ketika ini terus kukuh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan walaupun mempunyai pendirian yang berbeza namun nilai kebersamaan dan semangat perpaduan dalam kalangan parti amat mengagumkan beliau.
“Walaupun kita ini gabungan parti dengan berlainan pendirian dan fahaman, tetapi semangat untuk membangunkan negara menjadikan kerjasama dan semangat itu luar biasa.
“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid. Fadillah Yusof dan raka-rakan lain atas semangat ini.
“Semangat dalam kerajaan sangat luar biasa. Kita diberi amanah, dan kerjasama antara parti dalam gabungan ini yang sangat baik,” katanya ketika berucap dalam Program Gotong-Royong Kenduri Rakyat di Kampung Pachitan, di sini hari ini.
Seramai 143 orang Ahli Parlimen daripada Kerajaan Perpaduan hadir pada program berkenaan yang dianjurkan bersempena Program Ukhwah Kepimpinan Madani sempena Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Madani.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri Kabinet yang lain.
Anwar dalam pada itu berkata, kerajaan serius mendengar dan menyelesaikan keluhan rakyat walaupun ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh.
Katanya, walaupun indikator utama ekonomi negara menunjukkan prestasi memberangsangkan seperti kadar inflasi dan pengangguran yang rendah, keluhan rakyat bawahan tetap perlu ditangani segera.
“Daripada segi makroekonomi, ekonomi baik, inflasi rendah, pengangguran rendah tetapi di peringkat bawah masih ada sedikit kegelisahan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, beliau sedang berbincang dengan pegawai kewangan dan ekonomi untuk memuktamadkan beberapa langkah membantu rakyat yang akan diumumkan minggu hadapan.
“Kita ambil langkah yang perlu, kita dengar keluhan rakyat. Kerajaan Madani mesti dengar dan santuni rakyat,” katanya.
Semalam beliau memberitahu mungkin akan mengumumkan sesuatu pada hari Isnin atau Selasa berkaitan ‘kejutan besar’ yang akan diberikan untuk rakyat seperti yang telah diuar-uarkan sejak beberapa hari lalu.
Dalam pada itu, Anwar dalam ucapannya hari ini turut mengumumkan pembinaan sebuah kompleks sukan baharu di Kampung Pachitan.
“Kita setuju, tanah sudah ada, saya tidak boleh kata tidak, sambutan luar biasa hari ini. Kementerian Belia dan Sukan akan mengkaji keperluan serta skala pelaksanaannya,” katanya.-UTUSAN.










