Perlis semak tarif air, kos elektrik cecah RM250,000 sebulan - Utusan Malaysia

Perlis semak tarif air, kos elektrik cecah RM250,000 sebulan

IZIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan menyemak semula tarif air ekoran peningkatan kos caj elektrik yang mencecah RM200,000 sehingga RM250,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Izizam Ibrahim berkata, semakan semula kadar tarif air itu juga dapat membantu Syarikat Air Perlis (SAP) menangani pelbagai cabaran melibatkan perkhidmatan bekalan, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna.

Katanya, kenaikan tarif elektrik tersebut memberi kesan kepada peningkatan caj bekalan elektrik yang semakin melonjak tinggi sehingga membebankan SAP.

Bagaimanapun katanya, peratusan kenaikan tarif air tersebut masih di peringkat perkiraan melalui mekanisme yang ditetapkan.

“Kita terpaksa juga ikut menyemak semula tarif air ini seperti di negeri-negeri lain berdasarkan situasi semasa khususnya selepas berlaku kenaikan tarif elektrik.

“Dengan pelaksanaan pelarasan ini, SAP juga akan lebih berkemampuan dalam menangani pelbagai cabaran semasa perkhidmatan bekalan air negeri termasuklah meningkatan aktiviti penyelenggaraan aset uzur dan pembaikan infrastruktur paip,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri Melaka dan Kedah akan menyemak semula tarif air ekoran peningkatan kos penyelenggaraan paip, caj elektrik dan pembinaan loji air baharu.

Sebelum itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan memaklumkan telah menerima permohonan dari operator perkhidmatan bagi menyemak semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air di 10 negeri iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

Izizam berkata, SAP bersama operator bekalan air terawat di sembilan negeri sebelum ini telah mengemukakan cadangan menyemak semula kadar tarif air sedia ada kepada SPAN selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (IPA).

Katanya, pelarasan tersebut adalah berdasarkan mekanisme Tariff Setting Mechanism (TSM) yang dikawalselia sepenuhnya oleh SPAN dalam memastikan kadar tarif air dan kemapanan industri tidak membebankan pengguna.

Ujarnya, ia mengambil kira kos operasi dan kenaikan kos elektrik serta implikasi caj Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang telah dikenakan kepada industri air.

“Pelaksanaan ini juga dijangka dapat menjamin kemapanan bekalan air jangka panjang di samping memastikan sistem kekal cekap, selamat dan berterusan.

“Melalui pelarasan tersebut, SAP perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan dan ketetapan SPAN agar pelaksanaan tersebut dibuat secara bertanggungjawab dan tidak membebankan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN