KANGAR: Perlis yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dilihat berpotensi besar dalam bidang agro pelancongan khususnya bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, terdapat beberapa lokasi pertanian di sekitar negeri ini yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai lokasi agro pelancongan sekali gus menarik kunjungan pelancong ke sini.
Katanya, langkah itu juga memberi kelainan buat pelancong dan menggelakkan mereka jemu dengan lokasi pelancongan sedia ada.
“Perlis ini kecil dan kita ketandusan tempat pelancongan jadi kita kena guna pendekatan dua dalam satu di mana ada tempat-tempat pertanian yang boleh dijadikan sebagai lokasi agro pelancongan.
“Selain itu, langkah ini juga dapat menambah pendapatan buat pengusaha-pengusaha pertanian terlibat,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian penutupan Pesta Makanan Tradisional Perlis (MANTAPs) dan Wang Gunung Trail Run 3.0 di Taman Buah-Buahan Eksotik Sungai Batu Pahat di sini hari ini.
Pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah dan Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman, Razali turut melancarkan produk Nakawan Herbs iaitu produk perubatan tradisional dan makanan kesihatan yang dihasilkan oleh komunti Wang Gunung.
Ia merangkumi gabungan 60 herba terpilih yang terdapat di Banjaran Nakawan sekali gus menghasilkan tujuh produk seperti Madu Lebah Tok Gunung, Minyak Serbaguna Tok Gunung, Minyak Kelapa Dara Tok Gunung, Minyak Ikan Kedak Tok Gunung dan beberapa lagi.
Razali berkata, antara lokasi agro pelancongan yang berpotensi sekitar negeri ini adalah seperti Taman Buah-Buahan Eksotik Sungai Batu Pahat, Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dan Tasik Melati.
Katanya, dalam menjayakan usaha itu, kerjasama baik antara kerajaan negeri dan masyarakat setempat juga amat diperlukan bagi bersama-sama membangunkan lokasi agro pelancongan di negeri ini.
“Sekiranya kerajaan negeri ambil inisiatif untuk bangunkan lokasi-lokasi ini secara sendirian dan masyarakat setempat juga tiada komitmen, maka usaha ini akan jadi pendekatan satu hala sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata, penganjuran MANTAPs adalah bertujuan mempromosikan kekayaan kuliner Perlis melibatkan makanan warisan dan produk popular negeri ini.
Katanya, terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program berkenaan antaranya seperti Wang Gunung Trail Run 3.0, jualan makanan tradisional, demostrasi masakan, pertandingan penyediaan kerabu Perlis, pertandingan memasak gulai ikan puyu, sepak raga tuju dan pelbagai lagi.