KUALA KRAI: Seorang lelaki yang berkerja sebagai pemandu e-hailing dan isterinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar 67.75 kilogram (kg) dadah jenis ganja serta memiliki methamphetamine seberat 15.10 gram di tepi jalan Padang Sembilan di sini pada 11 Julai lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh Wan Muhammad Aziem Wan Mustafa, 31, dan Wan Matraf Azlinda Wan Mat, 49, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Pengakuan tidak direkodkan oleh kesemua tertuduh berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ganja dengan berat 67.75 kg di tepi jalan Padang Sembilan di sini pukul 4 pagi pada 11 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati perlu dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 15.1 gram pada hari dan lokasi yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 hukuman dibawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan huhukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding perbicaraan, mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 23 September untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan taktik licik sepasang suami isteri yang disyaki aktif mengedar dadah dengan menyamar sebagai pemandu e-hailing dan peniaga ayam terbongkar selepas ditahan polis di Jalan Padang Sembilan.
Pasangan berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) pada pukul 4 pagi selepas dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sejurus kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Proton S70 yang dinaiki oleh kedua-dua suspek anggota MPV telah menjumpai 67.75 kilogram (kg) dadah jenis ganja.-UTUSAN










