PETALING JAYA: Wakil rakyat yang mahu memberikan sumbangan kepada sekolah yang berada di dalam Parlimen mereka perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terlebih dahulu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa mengalu-alukan segala bentuk sumbangan atau inisiatif pendanaan awam daripada pelbagai pihak luar seperti organisasi, syarikat swasta, yayasan, badan bukan kerajaan (NGO), individu persendirian dan wakil rakyat.
Bagaimanapun, kata beliau, semua bentuk sumbangan atau pendanaan awam hendaklah disalurkan mengikut ketetapan yang digariskan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 3 Tahun 2018: Panduan Penyaluran dan Penerimaan Sumbangan daripada Sektor Swasta dan Bukan Swasta Kepada Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 29 Mac 2018.
“Sumbangan daripada pihak luar dalam bentuk program, projek atau aktiviti boleh disalurkan kepada institusi pendidikan atau melalui pejabat pendidikan daerah (PPD), JPN atau KPM.
“Walau bagaimanapun, sumbangan atau pendanaan awam kepada institusi pendidikan atau PPD hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada KPM atau JPN dengan mengemukakan permohonan rasmi menggunakan Borang A yang boleh dimuat turun melalui portal rasmi KPM,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiar di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.
Fadhlina menjawab soalan dari Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang memintanya untuk menyatakan prosedur untuk sesebuah organisasi, syarikat swasta, yayasan atau wakil rakyat terutama Ahli Parlimen yang ingin memberi sumbangan di sesuatu kawasan.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, bagi memastikan interaksi yang profesional di institusi pendidikan serta mengutamakan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan warga sekolah, sebarang lawatan atau penglibatan orang kenamaan dan ahli politik mestilah tertakluk kepada pematuhan surat pekeliling yang ditetapkan.
Jelasnya, surat pekeliling dimaksudkan adalah Ikhtisas KPM Bilangan 4 Tahun 2023: Garis Panduan Undangan atau Lawatan Orang Kenamaan dan Ahli Politik ke Institusi Pendidikan bawah KPM bertarikh 21 Februari 2023.
“Kedua-dua garis panduan ini adalah penting dalam memastikan sumbangan dan penglibatan luar dapat dilaksanakan secara berhemah, berfokus kepada manfaat pendidikan dan selaras dengan prinsip ketelusan serta keharmonian ekosistem sekolah,” katanya. – UTUSAN










