GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli Pos Pulat di sini, lega apabila kerja-kerja pembinaan penempatan mereka berjalan lancar selepas kawasan itu dibangunkan dengan Projek Hidroelektrik Nenggiri.
Alek Itam, 71, berkata, perkembangan itu membuatkan mereka sudah tidak sabar untuk berpindah ke kawasan tersebut yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
“Saya sudah melihat tapak projek penempatan baharu untuk penduduk Pos Pulat dan sangat berpuas hati dengan tahap kemajuannya.
“Perjalanan ke perkampungan baharu memakan masa kira-kira setengah jam. Ketika ini kami hanya menunggu arahan untuk berpindah ke kampung baharu,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi penduduk, Ani Adam, 51, berkata, kawasan perkampungan baharu yang dibina oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) jauh berbeza dengan kampung lamanya yang wujud lebih 50 tahun lalu.
Katanya, infrastrukturnya lebih moden termasuk kemudahan jalan berturap di kawasan kampung.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, kerajaan sentiasa komited memastikan kebajikan penduduk Orang Asli terjamin selepas perkampungan mereka tenggelam ekoran pembinaan Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri
Katanya, pelbagai kemudahan seperti baharu,ladang getah, sekolah, surau, dewan, lot kedai dan balai rawatan dalam proses pembinaan.-UTUSAN.










